MUZIUM TYT / TYT MUSEUM

SEJARAH RINGKAS KESULTANAN MELAYU (1400-1900)

Kesultanan Melayu Melaka merupakan pusat 'Dunia Melayu' di abad ke 15 Masihi. Kerajaan ini diasaskan oleh Parameswara (gelaran kebesaran) yang meninggalkan Temasik (nama asal Singapura) selepas diburu tentera Siam. Kerajaan Melaka menjadi terkenal semasa pemerintahannya dan telah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan China. Melaka pernah menjadi sebuah pelabuhan yang masyhur serta pusat perdagangan rempah yang utama di Asia Tenggara. Kedudukan Melaka begitu strategik dan terkenal di kalangan pedagang-pedagang Timur dan Barat. Kekuasaan Kesultanan Melayu Melaka meliputi kesemua negeri di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan gugusan pulau yang terletak di selatannya. Kesultanan Melayu Melaka mempunyai sistem politik dan pentadbiran yang kemas dan berwibawa. Ini jelas dilihat dari beberapa sumber sejarah, terutamanya Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka.

Terdapat beberapa orang pembesar negeri yang dilantik semasa zaman kecemerlangan Kesultanan Melaka. Di antaranya ialah Bendahara, Temenggung, Penghulu Bendahari, Laksamana dan Syahbandar, dengan fungsi terkhusus. Apabila Melaka tewas, kerajaan-kerajaan Melayu lain sesudah kejatuhan amnya juga menggunakan struktur pemerintahan yang sama. Kesultanan Melaka boleh dianggap sebagai pengasas budaya politik Melayu yang memartabatkan segala kebesaran adat istiadat istana, bahasa raja/istana, penganugerahan darjah kebesaran serta peraturan yang mengatur hubungan di antara raja dan rakyat.

Pada tahun 1511, Portugis menakluki Melaka dan memaksa keluarga diraja mencari perlindungan di beberapa jajahannya. Sultan Mahmud, akhirnya telah mangkat di Kampar, Sumatera pada tahun 1528. Pada tahun 1641, Belanda pula menakluki Melaka dan ini sekali lagi membawa kepada perubahan pentadbiran yang sedia ada. Pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris Belanda, Melaka dengan rasminya diserahkan oleh Belanda kepada pihak British.

Loading

TOP