MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM

KEJAYAAN ORANG ASLI

AIN ZURANA ATEM @ ABDULLAH
Ain Zurana Atem bte Abdullah merupakan pelajar sulung yang memperolehi ijazah di kalangan suku kaum wanita Temiar. Beliau anak kelahiran Kampung Sendrod, Pos Brooke, Kelantan. Beliau telah membuktikan bahawa pengalaman hidup yang susah akan membuat seseorang itu berusaha sehingga berjaya. Segala hukum adat yang menyukarkan dan sinonim dengan masyarakat Orang Asli haruslah di atasi oleh pelajar masa kini untuk mengikut jejak dan langkah mereka yang berjaya.

Dilahirkan pada 12 Ogos 1975, merupakan anak yang keempat daripada lima orang adik-beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Convent Tanah Rata, Cameron Highland Pahang dari darjah satu hingga darjah enam. Beliau meneruskan pendidikan ke tingkatan satu dan dua di Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah Tanah Rata Cameron Hihgland dan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Dato Shahbandar Hussain Raub, Pahang. Beliau meneruskan pendidikan tingkatan empat di Sekolah Menengah Tengku Kudin Raub, Pahang dan kembali semula ke Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah untuk menamatkan pendidikan di tingkatan lima.

Keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membolehkan beliau diterima memasuki Universiti Teknologi MARA (UiTM) di dalam pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Seni Reka. Beliau mengikuti kursus Pendidikan Lepasan Ijazah dalam bidang Pendidikan Seni di UiTM dan kini bertugas sebagai seorang guru.

DR. AYOB LOS
Dilahirkan pada 13 Mei 1961 di Kampung Chenderong Kelubi, Sungai Galah, Perak. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Chenderong Kelubi pada tahun 1967. Pada tahun 1972 beliau berpindah ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Jalan Hospital, Tapah. Pada tahun 1973 hingga tahun 1977 meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Abdul Hamid Khandan dari 1978-1979 meneruskan pembelajaran di Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang. Tahun 1982 telah ditawarkan Kursus Perubatan di Fakulti Perubatan Sains di kampus Pulau Pinang dan menyambung pengajian di kampus Kubang Kerian Kota Bharu, Kelantan sehingga tahun 1987. Beliau merupakan graduan Orang Asli pertama yang lulus di dalam bidang pengajian sains perubatan dan merupakan Doktor Perubatan pertama di kalangan Orang Asli.

Dr. Ayob Los pernah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Ipoh, Hospital Kampar, Hospital Changkat Melintang dan Bota Kanan. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Klinik Kesihatan, Kampar, Perak. Beliau telah mengambil Kursus Pakar Perubatan Keluarga di Malaysia dan Australia (MDFB & FRACP) sebagai usaha untuk menambah ilmu pengetahuan.

Dorongan keluarga dan semangat yang kental menjadi dorongan kepada Dr. Ayob Los untuk memburu kejayaan sebagai Doktor Perubatan. Beliau sentiasa berpegang kepada prinsip hidupnya iaitu ‘Jika ada kemahuan disitu ada jalan’.

AMRI BIN JAMIL
Amri bin Jamil dilahirkan pada 6 Oktober 1973 di Dengkil, Sepang, Selangor dan merupakan anak Orang Asli dari keturunankaum Temuan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Tampoi, Dengkil. Pada tahun 1986-1990 meneruskan pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan mendapat pangkat 1 dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Pada tahun 1991-1992 beliau meneruskan pengajian di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di dalam jurusan komputer sehingga memperolehi Sijil Memproses Data. Hasil penat lelah beliau telah menjejakkan kaki ke menara gading di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1995 sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan kepujian Sains Komputer pada tahun 1988

Beliau merupakan Orang Asli pertama yang bertugas di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan menjawat jawatan sebagai Pegawai Sistem Maklumat. Beliau aktif berpersatuan dan merupakan Ahli Jawatankuasa Kelab Kebajikan dan Sukan MAMPU, Kelab Siswazah Orang Asli, Persatuan Orang Asli Semananjung dan Ahli Jawatankuasa Kampung Bukit Bangkong, Dengkil, Selangor.

“KALAU TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG MANAKAN DAPAT SAGUNYA” merupakan kata-kata keramat dan menjadi moto perjuangan kepada beliau untuk mendapatkan kejayaannya pada hari ini.

DATO’ LONG BIN JIDIN
Dato’ Long bin Jidin merupakan anak Orang Asli keturunan suku kaum Jakun dan telah dilahirkan pada 19 Julai 1953 di Kampung Kuala Merchong, Pekan, Pahang. Mendapat pendidikan awal darjah satu pada tahun 1962 di Sekolah Kebangsaan Leban Condong. 1963 beliau menyambung pelajaran di Sekolah Kebangsaan Batu 7, Gombak. Pada tahun yang sama beliau sekali lagi berpindah ke Sekolah Kebangsaan Wan Ibrahim, Kuala Lipis, Pahang dan menetap di Asrama Bukit Abo yang dikhaskan untuk anak Orang Asli seramai 12 orang. Di asrama ini beliau memasak makanan sendiri secara bergilir-gilir setiap hari.

Tahun 1968, Long telah menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Setia Wangsa, Kuala Lipis sehingga ke tingkatan tiga dan telah lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1970. Beliau telah mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1972 dan telah lulus dengan mendapat gred dua. Berbekalkan kelulusan yang ada beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1973 dan merupakan anak Orang Asli pertama berjaya menjejakkan kaki di sana di dalam bidang Pengeluaran dan Kesihatan Haiwan.

Beliau meneruskan pelajaran dengan mengambil Kursus Pendidikan Jarak Jauh anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) di peringkat Sarjana Muda Sains dari tahun 1990-1996. Beliau aktif di dalam badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persatuan Orang Asli Malaysia (1994), Pengerusi Persatuan Usahawan Orang Asli Malaysia (PASLIM) tahun 1995-1996, Ketua Pemuda UMNO cawangan Perkampungan Orang Asli Batu 12, Gombak dan Ketua Persatuan Belia 4B Daerah Kuala Lipis. Di peringkat kebangsaan beliau pernah dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli dan menjadi ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara Malaysia.

Beliau telah dianugerahkan pingat darjah kebesaran seperti Pingat Jasa Kebaktian (PJK) tahun 1989, Ahli Mangku Negara (AMN) 1995, Setia Mahkota Pahang (SMP) 1998 dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1999.

Beliau telah dilantik sebagai Senator pada tahun 1997 dan telah banyak memberi sumbangan idea yang membina semasa berlangsungnya sidang parlimen demi pembangunan rakyat negara ini khususnya masyarakat Orang Asli yang masih jauh ketinggalan sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial.

DSP RAMLI BIN MOHD NOR
DSP Ramli bin Mohd Nor berketurunan Orang Asli Semai telah dilahirkan pada 1 Januari 1958 di Batu 12, Gombak, Selangor. Memulakan alam persekolahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Sultan Hishamudin, Kuala Lumpur pada tahun 1965 dan berpindah ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tunku Putra, Baling, Kedah kerana mengikuti bapanya yang bertugas di dalam Pasukan Polis Hutan (Senoi Praq) Beliau telah lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Darjah Lima bagi membolehkan beliau memasuki Kelas Khas Tingkatan satu di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar yang menghimpunkan murid-murid yang mendapat keputusan cemerlang di Negeri Kedah.

Tahun 1975 menyaksikan beliau lulus dengan cemerlang di dalam Peperiksaan SPM/MCE dan berjaya melanjutkan pengajian peringkat diploma dalam bidang Sebaran Am (Perhubungan Awam) di UiTM Shah Alam pada tahun 1976. Beliau berjaya menjawat jawatan sebagai Inspektor Percubaan dalam Perkhidmatan Polis Di Raja Malaysia pada tahun 1984. Pada tahun 1992 beliau telah dilantik ke jawatan Cif Inspektor dan dipertanggungjawabkan sebagai Pegawai Penyiasat Kanan, Daerah Gombak. Tahun 1996 beliau dinaikkan pangkat sebagai Asisten Supritenden Polis (ASP) sehinggalah pertengahan 2003 dilantik sebagai Deputi Supritenden Polis (DSP) dan bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

DSP Ramli berusaha memajukan diri di dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai anggota polis dengan menyambung pengajian menerusi Kursus Luar Kampus UiTM dalam jurusan undang-undang dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1988.

Bagi DSP Ramli untuk mencapai kemajuan seiring dengan kaum lain, Orang Asli sendiri sewajarnya mesti keluar dari kepompong minda yang sempit dan merebut setiap peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi pembangunan diri, masyarakat dan negara.

Loading

TOP