MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM

MAJLIS PERNIKAHAN DAN PERSANDINGAN

Seminggu sebelum majlis pernikahan berlangsung waris kedua belah pihak menjemput saudara mara serta sibuk membuat persiapan pernikahan. Pada zaman dahulu tugasan menjemput tetamu mempunyai adat dan cara tertentu. Wakil pihak lelaki dan perempuan akan berjalan sekeliling kampung dengan membawa bersama ‘BUJAM MENJEMPUT’ (diperbuat daripada anyaman mengkuang berisikan sireh, pinang, gambir, bunga cengkih, kapur, daun rokok, tembakau dan mancis). Di luar Bujam terdapat dua bentuk cincin perak yang digunakan untuk pengenalan kepada kedua mempelai. Jemputan ini adalah meliputi keseluruhan penghuni rumah untuk menghadiri majlis pernikahan dan persandingan kedua pengantin.

Sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung pengantin lelaki serta walinya perlu menjalani adat berinai dan tepung tawar. Kedua pengantin duduk di pelamin yang dihias indah dan saudara mara kedua pihak akan menepung tawar. Acara ini amat penting kerana ianya akan dapat menghindarkan sakit-pening serta gejala buruk ke atas mereka.

Sebelum dinikahkan pengantin lelaki perlu menginap di rumah saudara pengantin perempuan dengan diiringi oleh wali serta saudara-maranya. Tepat pada masa yang ditetapkan pengantin lelaki, wali dan saudaranya diarak dengan paluan gong dan rebana sehinggalah sampai dihalaman rumah pengantin perempuan. Pengantin perempuan juga diarak keluar dari rumah untuk diarak bersama pengantin lelaki menuju ke ruang pernikahan. Sebelum memasuki pintu rumah, mereka perlu menjalani adat mencuci kaki dengan air beras yang dibubuh limau dan kunyit. Pengantin perempuan dibenarkan memasuki rumah manakala pengantin lelaki terus berada diambang pintu sehinggalah dijemput oleh wali pengantin perempuan. Pengantin lelaki ditanya tujuan kedatangannya dan perlu membayar sedikit wang untuk masuk. Pengantin lelaki di bawa terus duduk di pelamin disamping pengantin perempuan.

Wali kedua pihak akan bersalaman dengan kesemua hadirin di dalam rumah. Selesai acara itu mereka mengambil tempat di hadapan pengantin dan menjalankan acara adat iaitu penyerahan Bujam dan barang hantaran. Wali pengantin perempuan menyerahkan Bujam dan barang hantaran kepada Jukerah dimana Jukerah pula akan menyerahkannya kepada Tok Jenang. Akhir sekali Bujam dan barangan hantaran itu diserahkan kepada Tok Batin untuk dibuka dan saksikan oleh semua pihak.

Acara pernikahan berlangsung dimana penganti lelaki dinikahkan oleh wali pengantin perempuan:-

“AKU NIKAHKAN ENGKAU (sebut nama pengantin lelaki) DENGAN (sebut nama pengantin perempuan). SETUJU ATAU TIDAK?. Perkataan ini mestilah diulang sebanyak tiga kali. Kalau setuju pengantin lelaki akan menyebut “SETUJU”. Lafaz ini mestilah didengar dan disahkan oleh saksi yang terdiri daripada Tok Batin, Tok Jenang, Jukerah, Wali serta hadirin yang hadir.

Pengantin perempuan juga menyebut lafaz yang sama di hadapan pengantin lelaki. Selesai acara itu, tangan kiri keduanya diletakan di bahu pasangannya untuk acara menyuap kepalan nasi, sireh berisi pinang dan akhir sekali acara menghisap rokok (simbolik). Selesai acara ini pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin kepada pengantin perempuan.

Selesai acara pernikahan ini berlangsung, Bujam yang berisi dengan sireh, pinang, kapur dan gambir diedarkan kepada semua hadirin untuk mereka menikmatinya. Pasangan pengantin turun dari pelamin dimana pengantin lelaki membawa daun rokok dan tembakau manakala pengantin perempuan membawa sekotak mancis untuk bersalaman dengan saudara mara dan mengedarkan rokok serta menyalakannya.

Loading

TOP