MUZIUM ORANG ASLI/ ORANG ASLI MUSEUM
ORANG ASLI & KAUM-KAUM
Perkataan ORANG ASLI hanya diguna pakai di Semenanjung Malaysia, manakala bagi Negeri Sabah dan Sarawak mereka dipanggil kaum pribumi. Orang Asli di Semenanjung Malaysia terbahagi kepada tiga bangsa utama iaitu:-
1. Bangsa Negrito - Terdapat enam suku kaum bangsa Negrito iaitu kaum Kensiu, kaum Kintaq, kaum Lanoh, kaum Jahai, kaum Mendriq dan kaum Bateq. Kebanyakan bangsa Negrito ini mendiami kawasan pedalaman di utara Negeri Perak dan Negeri Kelantan.
2. Bangsa Senoi - Terdapat enam suku kaum bangsa Senoi iaitu kaum Temiar, kaum Semai, kaum Semoq Beri, kaum Che Wong, kaum Jahut dan kaum Mahmeri. Mereka mendiami kawasan pendalaman di sepanjang lereng banjaran Titiwangsa yang merangkumi Negeri Perak, Kelantan dan Pahang.
3. Bangsa Melayu Proto - Terdapat enam suku kaum bangsa Melayu Proto ini iaitu kaum Temuan, kaum Semelai, kaum Jakun, kaum Orang Kanaq, kaum Orang Kuala dan kaum Orang Seletar. Kebanyakan suku kaum ini mendiami kawasan pendalaman di Negeri Selangor, Negeri Sembilan, Negeri Melaka dan Johor.
KAUM MENDRIQ
Satu kelompok bangsa Negrito yang mendiami sekitar hulu sungai Kuala Lah, Jajahan Gua Musang di Negeri Kelantan. Ciri fizikal suku kaum Mendriq adalah seperti Orang Negrito lain di kepulauan Andaman, Filipina dan Selatan Thailand. Mereka bertubuh kecil tetapi sasa, berambut keriting halus, berkulit gelap dan berwajah bulat leper, hidung leper dan berdagu pendek.
Orang Mendriq juga diandaikan sebagai tinggalan penghijrahan zaman paleolitik (zaman batu lama) yang melalui semenanjung ke arah kepulauan Pasifik. Bahasa suku kaum Mendriq ialah Austraossiatik yang berbeza daripada Bahasa Melayu dan golongan Austraossiatik. Mereka tergolong sebagai penutur rumpun bahasa Mon-Khmer tetapi kini telah banyak menerima kemasukan kosa kata Melayu.
Secara tradisional mereka mendiami kawasan pedalaman yang berhampiran dengan sungai. Semasa darurat, Orang Mendriq juga seperti kumpulan Negrito yang lain mengamalkan kehidupan berpindah randah untuk menampung kehidupan mereka. Ketika berlakunya banjir merah dan negara di dalam keadaan yang tidak aman kumpulan ini sering berpindah randah dari Kuala Lah ke Kampung Setar hinggalah ke Gua Musang. Apabila berlakunya penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1948, mereka kembali semula ke kampung asal mereka di Kuala Lah dan hidup berjiran dengan masyarakat Melayu. Masyarakat Mendriq ini telah banyak menerima pengaruh moden dan mereka bebas memilih agama untuk dianuti.
Menjadi kebiasaan bagi masyarakat ini berpindah ke kawasan baru sekiranya sumber makanan mereka hampir kehabisan. Mereka akan menetap sekiranya terdapat banyak sumber makanan hutan seperti ubi kujal, who, ciok, tau, ubi cuai selain daripada ubi kayu yang ditanam.
Memburu merupakan aktiviti utama bagi masyarakat Orang Asli tidak kira dimana mereka berada. Bagi orang Mendriq, sewaktu pergi berburu atau mencari ikan tidak boleh ditanya kemana mereka hendak pergi kerana dikhuatiri akan mendapat bala seperti tidak mendapat hasil perburuan atau tangkapan. Kebiasaannya mereka akan pergi berburu didalam kumpulan yang kecil dimana hasil perburuan akan dibahagi sama rata.
KAUM LANOH
Lanoh, suku kaum Orang Asli daripada bangsa Semang-Negrito. Masyarakat ini turut dikenali sebagai Lano dan Sabubn tetapi nama Sabubn sudah tidak digunakan lagi. Penempatan mereka bertaburan di utara Negeri Perak khususnya di Daerah Lenggong. Amalan berpindah randah kadangkala membawa masyarakat ini memasuki wilayah suku kaum lain. Wilayah Lanoh dikelilingi oleh wilayah kaum Kintaq di utara, wilayah kaum Jahai di timur dan wilayah Temiar di tenggara.
Dari sudut linguistik dan budaya, masyarakat Lanoh paling hampir kepada suku kaum Kensiu dan Kintaq. Ditinjau secara khusus, masyarakat Lanoh dari segi ras (bangsa) dan budaya merupakan Negrito tetapi dari segi bahasa mereka banyak menggunakan bahasa kaum Temiar.
Sistem sosial keluarga asas merupakan unit yang memastikan kesinambungan dari segi kewujudan dan kelangsungan hidup masyarakat ini. Keluarga asas bertanggungjawab memasyarakatkan anak sebagai ‘ahli masyarakat yang baru’ dengan nilai-nilai menghormati orang tua, tidak melakukan perkara yang dilarang, menerima tanggungjawab perkongsian dalam kegiatan harian berkelompok, menghormati pantang larang dan berpegang teguh kepada kepercayaan masyarakat Lanoh.
Masyarakat Lanoh berpegang kepada sistem kepercayaan animisme. Perasaan takut pada hantu umpamanya merupakan satu ciri utama. Namun masyarakat ini turut mempercayai tuhan sebagai lambang kuasa yang unggul. Sistem kepercayaan ini dikawal dan dipelihara oleh autoriti yang bergelar Halak. Disamping menangani hal ehwal ‘keagamaan’, ‘Halak’ turut berperanan sebagai pengamal perubatan tradisional masyarakat Lanoh.
Apabila berlaku kematian, berita tersebut akan disebarkan kepada Tok Batin dan kaum keluarga yang terdekat. Mayat akan dimandikan dan dibersihkan. Mayat wanita dihias dengan barang kemas seperti cincin, gelang dan rantai, kemudian dibalut dengan kain batik yang baru dan seterusnya digulung dengan tikar dan diikat dengan kuat. Mayat lelaki pula dibalut dengan kain pelikat sebelum digulung dengan tikar. Di tanah perkuburan, lubang lahad digali lebih kurang sedalam dua meter. Semua harta kepunyaan si mati ditanam bersama-sama mayat. Dua batang kayu dipacakkan sebagai tanda. Kubur dibahagian kepala dinyalakan api agar dapat menghalang binatang buas merosakkan kubur. Jika suami meninggal dunia maka si isteri tidak boleh bersolek selama tujuh hari.
KAUM KENSIU
Kaum Kensiu adalah suku kaum Orang Asli dari rumpun Semang-Negrito yang kini hanya tinggal di perkampungan Orang Asli Lubuk Lenggong, Baling, Kedah dan jaraknya lebih kurang 12 km dari Bandar Baling. Mereka merupakan kaum yang mempunyai pertalian kekeluargaan dengan Kampung Rai Yala, Selatan Thailand. Mereka tinggal semenjak tahun 1957 di Lot No. 3623 yang telah diwartakan pada tahun 1958 sebagai Rizab Orang Asli seluas 428 ekar, sebelum itu mereka tinggal berpindah randah dari Ulu Lenggong ke Parit Panjang, Kampung Bendang Man Sik, Sungai Celak dan Kampung Tiak Kupang. Kaum ini merupakan Bangsa Negrito yang terkecil dan tertua sekali di Semenanjung Malaysia.
Dalam kehidupan tradisi masyarakat Kensiu gabungan lima atau enam buah keluarga asas membentuk sebuah kumpulan. Dalam kebanyakan hal, semua anggota keluarga dalam sesebuah penempatan mempunyai ikatan persaudaraan yang rapat atau serumpun puak. Sesebuah kumpulan diketuai oleh anggota tertua tetapi tidak mempunyai sebarang gelaran yang khusus. Seseorang ketua dipilih berdasarkan faktor umur, pengalaman dan pengetahuan dalam ilmu perbomohan dan kebatinan. Ketua mempunyai kuasa membuat keputusan seperti memilih tapak penempatan, masa untuk berpindah dan seumpamanya tetapi masih tertakluk pada pandangan dan nasihat anggota kumpulan yang dipimpinnya. Secara umumnya konsep berketua seolah-olah tidak begitu dipentingkan oleh masyarakat ini di peringkat kumpulan, sebaliknya mereka lebih egalitarian dan solidarity. Elemen penting dalam organisasi sosial adalah keluarga nukleus yang mengandungi suami, isteri dan anak.
Bagi masyarakat Kensiu yang mengamalkan aktiviti berpindah randah, penempatan mereka lebih dikenali sebagai “kumpulan tabir angin” iaitu masyarakat yang tinggal di bawah atap sebagai tempat berteduh sementara. Masyarakat ini membawa anak-anak mereka kemana saja mereka berpindah randah dengan mendukungnya secara bergilir-gilir. Bagi anak-anak yang telah berumur tujuh tahun ke atas, mereka akan dibinakan tempat lain yang tidak jauh dengan keluarga mereka, manakala anak perempuan pula tinggal bersama dengan orang tua dan dipisahkan oleh unggun api yang dibuat di tengah tempat tidur mereka. Segala urusan kepimpinan terletak ditangan bapa yang bertindak membuat sebarang keputusan dalam hidup ahli keluarga. Kini organisasi berkumpulan telah berubah dan telah diganti dengan perkampungan sebagai unit penempatan di bawah seorang ketua yang dipanggil Penghulu.
KAUM BATEQ
Ciri fizikal kaum Bateq adalah sama seperti Orang Negrito dari Kepulauan Andaman, Filipina dan Selatan Thailand. Mereka berbadan kecil tetapi sasa, berambut kerinting halus berkulit hitam manis dan berwajah bulat lebar, hidung leper dan berdagu pendek. Kebanyakan masyarakat ini mendiami kawasan sekitar bahagian Hulu Sungai Tembeling, Sungai Tembeling, Sungai Kechau, Teluk Gunung di Pahang, Sungai Gala, Sungai Chiku, Sungai Tako, Sungai Lebir dan Sungai Aring di Kelantan manakala di Terengganu di Sungai Berua, Besut.
Kaum Bateq diandaikan sebagai tinggalan penghijrahan zaman paleolitik (Zaman Batu Lama) yang melalui semenanjung ke arah Kepulauan Pasifik. Bahasa suku Kaum Bateq ialah Austraosiatik yang berbeza daripada Bahasa Melayu dan Golongan Austronesia. Mereka tergolong sebagai penutur rumpun Mon-Khmer tetapi kini telah banyak menerima kosa Melayu.
Bateq De mendiami Hulu Kelantan, Bateq Iga mendiami di kawasan Sungai Tahan dan Sungai Kechau, Pahang. Bateq Nong di Sungai Cheka Jerantut, Pahang. Bateq Teh terdapat di Pos Lebir, Sungai Aring, Kelantan. Manakala Bateq Te di Sungai Berus Hulu Besut, Terengganu. Kebanyakannya bertutur di dalam pelbagai dialek dan itu menjadi identiti mereka.
Kaum Bateq tinggal di kawasan pamah tinggi tropika yang mempunyai cukup banyak spesis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang menjadi sumber makanan. Bagi menggelakkan serangan binatang buas, mereka keluar bekerja beramai-ramai. Hubungan kaum ini dengan dunia luar adalah melalui sungai kerana mereka masih lagi mendiami kawasan yang terpencil.
Kaum Bateq tinggal di pondok yang dipanggil “pisang sesikat”. Remaja yang sama umur dan jantina mempunyai tempat perlindungan yang sama di mana pondok tempat tinggal dibina dimana-mana sahaja. Setiap rumah mempunyai unggun api yang tersendiri di hadapannya.
Tidak terdapat suatu kepimpinan khusus di kalangan Kaum Bateq. Tiada orang dewasa dapat memaksa orang dewasa yang lain untuk mengikut sesuatu sistem malah suami tidak berkuasa ke atas isterinya. Begitu juga ibubapa tidak berkuasa terhadap anak-anak. Beberapa orang dewasa akan membantu membuat sesuatu keputusan di dalam masyarakat ini tetapi keputusan itu tidak semestinya diikuti dan kerana itulah Kaum Bateq tidak mempunyai seorang ketua.
Etika Kaum Bateq menegaskan keperluan untuk berkongsi dan saling membantu di kalangan orang yang tinggal bersama. Makanan terutama daging sentiasa dikongsi bersama di dalam masyarakat ini.
KAUM KINTAK
Kaum Kintak merupakan satu diantara dua rumpun Orang Asli daripada suku kaum Negrito atau pada asalnya dikenali sebagai Semang oleh penulis-penulis terdahulu. Kintak juga dikenali sebagai Tak, Kentok dan Kintok. Mereka secara khususnya terbahagi kepada beberapa kumpulan kecil yang dikenalpasti sebagai Kintak Bong dan Kintak Nakil.
Secara fizikalnya kaum lelaki dan wanita Kintak juga bertubuh rendah (anggaran lelaki 150 cm dan wanita 140 cm) dan kecil tetapi agak gempal. Berkulit perang gelap kadangkala terdapat yang berkulit perang kemerah-merahan, malahan ada yang hitam berkilat. Berambut keriting halus, pendek (lelaki tidak melebihi 3 inci dan wanita antara 9 inci hingga 1 kaki) dan berwarna gelap atau perang kemerah-merahan. Berhidung pendek, rata dan kembang. Bertulang pipi agak luas dengan anak mata berwarna perang gelap atau hitam. Berdagu kecil dan bulat. Bermulut agak luas dan berbibir sederhana tebal.
Para pengkaji mempercayai bahawa masyarakat Kintak berasal dari Bangsa Negrito di Kepulauan Andaman, kaum Aetas di Filipina. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi berasaskan bentuk fizikal dan dialek mereka. Kaum Kintak semenjak dahulu mendiami pingir hutan yang berhampiran dengan penempatan masyarakat Melayu atau Siam. Biasanya mereka akan memilih kawasaan pamah berhampiran dengan sungai yang kaya dengan spesis tumbuhan, haiwan buruan serta ikan yang menjadi sumber makanan dan ekonomi mereka.
Kini terdapat hanya sebuah penempatan tetap masyarakat ini iaitu di Kampung Bukit Asu, Grik dalam daerah Hulu Perak. Kampung ini boleh dihubungi dengan semua jenis kenderaan darat kecuali keadaan tertentu memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai, hanya terletak kira-kira 25 kilometer dari Bandar Grik menghala ke Bandar Keroh.
Masyarakat Kintak mengamalkan sistem keluarga sekelamin. Setiap keluarga mempunyai rumah sendiri dimana terdapat suami, isteri dan anak. Keluarga ini diketuai oleh suami yang berkuasa membuat keputusan dengan mengambil kira nasihat dan pandangan isteri atau bapa.
Masyarakat Kintak mengamalkan konsep perkahwinan yang mudah, tidak perlu diatur atau diraikan, memadai dengan kedua-dua pasangan membina tempat perlindungan dan tidur bersama. Perkahwinan berdasarkan pilihan sendiri. Sering berlaku penceraian dan pasangan itu akan berkahwin dengan orang lain. Namun begitu amalan ini jarang berlaku selepas mereka memperolehi anak.
Jika berlaku kematian, mayat tidak dikebumikan pada hari yang sama bagi membolehkan saudara mara yang jauh untuk menatap wajah simati untuk kali terakhir. Mayat akan dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian yang lengkap, kedua-dua tangan dan kakinya dibengkokkan atau dilipat ke arah hadapan badan sehingga bahagian jari-jemari tangannya berada betul-betul di bawah dagu dan kepala lututnya mencecah ke dada. Akhir sekali mayat dibungkus kemas dengan kain batik lepas yang baru untuk dikebumikan.
Di atas kubur, pondok pisang sesikat dibina bagi menaunginya. Sebagai tanda sepasang kayu yang telah dijampi serapah oleh bomoh dipacakkan di bahagian kepala dan kaki. Segala barang-barang kesayangan simati diletakkan di atas kubur. Masyarakat ini mempercayai bahawa roh simati juga memerlukan makanan dimana makanan akan diletakkan di atas kubur. Sebelum meninggalkan kubur, bapa dan ibu meninggalkan kata pesanan yang baik kepada simati. Pasangan simati dan keluarganya dilarang berhias dan bersukaria dalam tempoh berpantang selama 40 hari. Masyarakat ini mempercayai bahawa roh simati juga memerlukan makanandimana makanan akan diletakkan di atas kubu. Sebelum meninggalkan kubur, bapa dan ibu meninggalkan kata pesanan yang baik kepada simati. Pasangan simati dan keluargannya dilarang berhias dan bersuka ria.
KAUM KANAQ
Kaum Kanaq dipercayai berasal dari dari kepulauan Riau, Indonesia. Mereka berhijrah ke Negeri Johor dengan menaiki kapal Belanda dan mendarat di Sungai Papan, Daerah Kota Tinggi. Dari sumber lain pula menyatakan Kaum Kanaq melarikan diri dari Riau kerana ancaman dari tentera Belanda. Dari fakta sejarah, tentera Belanda telah berada di Kepulauan Riau pada tahun 1758, atas permintaan Sultan Sulaiman yang ketika itu memerintah Negeri Johor dan Kepulauan Riau (1722-1760), telah membuat perjanjian dengan tentera Belanda pada tahun 1784 untuk mengelak dari gangguan tentera Bugis. Pada tahun 1787 tentera Belanda telah berperang dengan lanun dari Borneo di Kepulauan Riau dan ini menyebabkan kaum ini melarikan diri ke Johor.
Berburu adalah aktiviti utama. Alat yang biasa digunakan adalah tombak, lembing, parang dan sumpitan yang diperbuat dari kayu. Mereka juga menggunakan perangkap dan jerat untuk menangkap binatang. Ubi hutan dan keledek merupakan makanan tradisi masyarakat ini. Bagi memasak ikan, mereka membalutnya dengan daun palas dan dibakar ke dalam api. Kaum ini tidak menggunakan buloh untuk memasak makanan.
Masyarakat Kanaq melarang perkahwinan antara adik beradik atau bapa saudara tetapi mereka boleh berkahwin dengan anak saudara kepada bapanya. Dalam sesuatu keadaan apabila kaum perempuan melebihi kaum lelaki maka mereka mengamalkan poligami. Manakala bagi anak perempuan pada usia 14 tahun mereka dibenarkan berkahwin dan untuk anak lelaki pada umur 18 tahun. Majlis pertunangan tidak pernah dibuat. Setelah mereka berkumpul maka Tok Batin akan mengesahkan pasangan sebagai suami isteri dan mereka kekal sehingga ke mati. Penceraian adalah perkara yang dilarang di dalam amalan kehidupan masyarakat Kanaq.
Dalam adat masyarakat Kanaq, kematian di kalangan orang tua adalah perkara biasa tetapi jika berlaku kematian di dalam usia muda mereka anggap simati telah membuat salah (dosa). Setiap kematian akan ditangisi dan perasaan sedih menyelubungi masyarakat kampung. Segala aktiviti harian diberhentikan. Persediaan menggali kubur hanya menggunakan parang. Jika mereka menggunakan alat seperti cangkul, hantu tanah akan marah dengan bertindak ganas dan membawa bencana buruk. Mayat dimandikan dan dibalut dengan kain putih. Ia seterusnya dikebumikan bersama barang bekalan seperti tempurung berisi beras dan air supaya roh simati tidak lapar semasa di alam lain. Sebilah parang juga ditanam untuk kegunaan simati. Tok Batin membacakan jampi serapah dan setelah selesai mereka yang ingin pulang ke rumah tidak dibenarkan menoleh kebelakang kerana dikhuatiri semangat simati akan mengikut ke rumah dan mengganggu penduduk kampung.
KAUM SELETAR
Kaum Seletar atau “Sea Gypsies” merupakan kumpulan penggembara persisiran pantai dan laut yang tinggal di dalam perahu, di pulau dan kuala sungai terutama di persisiran pantai Selatan Johor dan Utara Singapura. Secara tradisinya mereka bergantung kepada hasil tangkapan laut dan ini menyebabkan mereka sering berpindah randah. Kaum Seletar mengamalkan kepercayaan animisme namun dalam arus moden mereka kini bebas memilih agama.
Kaum Seletar dipimpin oleh seorang Tok Batin yang akan dipilih berdasarkan kebolehan serta kemahirannya sebagai pelaut. Jawatan Batin biasanya diwarisi turun temurun dengan restu dari masyarakat. Perlantikan penggantinya dibuat berdasarkan wasiat Batin terdahulu kepada bomoh atau orang tertentu.
Suami adalah sebagai ketua keluarga dimana tanggungjawab dan keputusan yang dibuat mesti dipatuhi oleh semua ahli keluarganya. Kaum Seletar mengamalkan konsep perkahwinan di kalangan suku kaum mereka sendiri. Terdapat adat merisik dan bertunang sebelum majlis pernikahan dijalankan.
Apabila berlakunya kematian semua penduduk kampung akan berkabung dan tidak menjalankan aktiviti harian sebagai menghormati jenazah dan keluarganya. Jenazah akan diiringi ke tanah perkuburan oleh kaum lelaki sahaja sementara kaum wanita tidak dibenarkan ke tanah perkuburan, sebelum jenazah selamat dikebumikan. Pelita akan dipasang selama enam hari enam malam berturut-turut. Semua peralatan simati diletakkan di atas kubur dan diselubungkan dengan jala. Perbuatan ini dipercayai dapat menggelakkan roh simati mengganggu keluarga dan penduduk kampung.
Masyarakat Seletar mempercayai bahawa pantai dijaga oleh hantu pantai manakala laut dijaga oleh hantu laut. Cabul mulut adalah satu larangan. Perlu meminta izin dari hantu laut sebelum turun menangkap ikan. Sesiapa yang mengingkari amalan ini akan terkena “Dinah” atau disampuk. Orang yang “Dinah” akan meracau tidak tentu arah dimana pawang dipanggil untuk mengubatinya. Pawang atau bomoh memainkan peranan penting di dalam kehidupan masyarakat kaum Seletar untuk mengubati sesuatu penyakit.
KAUM TEMUAN
Orang Asli Temuan adalah dari kumpulan Melayu Asli (Malay Proto). Mereka tinggal di Negeri Selangor, Melaka, Pahang, Daerah Muar, Johor dan Negeri Sembilan. Kaum Temua di Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih dan tidak banyak bezanya daripada adat kaum Temuan di negeri lain.
Kaum Temuan dipimpin oleh seorang Batin yang dilantik yang kebiasaannya mengikut keturunan. Perlantikan Batin dibuat berdasarkan kepada ketokohan atau kebolehannya serta berpengetahuan luas berhubung adat istiadat. Sekiranya seseorang Batin meninggal dunia atau meletak jawatan, satu mesyuarat akan diuruskan oleh Jurukerah dan satu perundingan yang menggunakan “Bahasa Adat” (secara serius dan jujur) dijalankan. Sekiranya Batin yang dilantik “melanggar adat” maka dia boleh dilucutkan jawatan oleh “Perut” dan pemilihan baru dijalankan.
Menteri merupakan penasihat kepada Batin, Jurukerah dan Jenang. Beliau merupakan seorang yang mahir dalam adat istiadat dan pantang larang dalam masyarakat Temuan. Walaubagaimanapun beliau tidak boleh menjatuhkan sebarang hukuman.
Tok Jenang ialah Ketua Lembaga Adat yang diwarisi dan mempunyai bidang kuasa yang terhad dalam menjatuhkan hukuman. Jurukerah pula dilantik dengan mendapat persetujuan daripada Lembaga adat. Beliau boleh menjatuhkan hukuman yang ringan dan menjadi wali (jurunikah) di dalam adat istiadat perkahwinan.
Jawatan Penglima pula dilantik oleh Batin sendiri setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga Adat. Tugas utama Panglima ialah menjaga dan mengurus kebajikan anak-anak buahnya.
Jawatan Pemangku merupakan satu jawatan yang diwarisi di mana ia menjalankan tugas yang telah diamanahkan oleh Batin serta berkuasa menjatuhkan hukuman kepada anak buahnya.
KAUM SEMELAI
Semelai merupakan salah satu suku kaum Orang Asli dari Bangsa Melayu Asli (Proto Malay). Taburan penempatan mereka terdapat di Pahang Tengah seperti di Tasik Bera, Sungai Bera, Sungai Teriang, Paya Besar, Paya Badak serta di sempadan Pahang menghala ke Negeri Sembilan seperti di Sungai Serting, Sungai Lui dan Ulu Muar. Dari segi bentuk fizikal kaum Semelai tidak banyak bezanya dengan orang Melayu.
Kaum Semelai mempercayai adanya tuhan yang mencipta sekalian alam, hari qiamat, hari akhirat, syurga, neraka serta Munkar dan Nankir. Kaum ini juga mempercayai kesalahan akan dibalas dosa sekiranya membuat perkara yang dilarang disamping mempercayai adanya penunggu/jin, roh, makhluk halus dan percaya kepada semangat.
Batin adalah jawatan dalam sesebuah komuniti/kampung kaum Semelai. Bidang kuasanya adalah yang tertinggi dalam ‘Kuasa Peradatan’, berkuasa memegang adat, memutuskan adat, menjatuhkan hukum dan perkara-perkara lain seperti nikah kawin, cerai, kematian dan juga hal-hal berkaitan dengan penduduk setempat. Menteri ialah jawatan kedua tertinggi selepas Batin, bertindak sebagai penasihat kepada Batin, Penghulu serta pegawai lain tetapi tidak boleh menjatuhkan hukuman. Manakala jawatan Penghulu merupakan jawatan ketiga dan bidang kuasanya adalah separuh daripada kuasa Menteri dan suku daripada Batin.
Ketua Kampung ialah jawatan keempat dalam struktur organisasi kepimpinan kaum Semelai. Beliau berkuasa separuh daripada kuasa Penghulu. Jurukerah pula dilantik oleh penduduk kampung berdasarkan kerajinan bekerja, mengikut perintah dan boleh diharapkan. Tugasnya membantu Ketua Kampung dalam menjalankan kerja-kerja yang telah diarahkan seperti membuat rumah, gotong-royong dan sebagainya. Akhir sekali ialah jawatan Setin. Beliau merupakan pembantu kepada Jurukerah dimana pemilihannya sama seperti pemilihan Jurukerah.
Di dalam masyarakat Semelai apabila satu pasangan berkenalan dan bercinta, keduanya perlu memberitahu keluarga (ibu/bapa) tentang perhubungan mereka. Jika direstui siteruna akan bertandang ke rumah perempuan dan bermalam bersama selama tiga malam berturut-turut. Setelah itu, bapa si gadis akan bertanya kepada si teruna dan anak gadisnya tentang perhubungan mereka. Jika disukai maka si teruna dinasihatkan membawa sigadis balik dan bermalam di rumahnya. Pada hari pagi ketiga, bapa sigadis akan pergi ke rumah si teruna untuk mencari anaknya yang kononnya telah dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Bapa si teruna bertanya kepadanya apa tujuan dia membawa anak gadis orang balik ke rumah begitu juga si gadis akan ditanya mengapa dia mengikuti si teruna. Jika mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin, maka pasangan itu dibawa bertandang ke rumah keluarga terdekat untuk memaklumkan perhubungan mereka. Tarikh perkahwinan ditetapkan setelah mendapat persetujuan kedua belah pihak.
Jika seseorang pesakit dalam keadaan nazak, orang ramai terutama kaum keluarga, saudara mara akan berkumpul di rumah pesakit. Jika dilihat pesakit itu tiada harapan untuk hidup maka ia dipindahkan dari rumah ke tempat khas (pondok kecil) yang disediakan di hadapan rumah. Jika kematian berlaku, penduduk setempat memberikan sumbangan ikhlas berupa wang ringgit, barang-barang dan tenaga untuk meringankan beban keluarga simati.
ORANG LAUT (KUALA)
Orang Laut tergolong di dalam kumpulan Melayu-Proto. Mereka tinggal di Pantai Barat, Selatan Johor dan Utara Singapura. Mereka terbahagi kepada dua kumpulan iaitu Orang Kuala dan Orang Seletar. Istilah Orang Kuala wujud disebabkan lokasi masyarakat itu sendiri yang tinggal di kuala sungai dan persisiran pantai barat. Orang Kuala dipercayai berasal dari Kepulauan Riau-Lingga dan kawasan berhampiran pantai Sumatera, Indonesia. Kecekapan mereka di laut merupakan faktor yang membantu mereka dalam proses imigrasi ini.
Pengertian Orang Laut mengikut dialek mereka ialah “Dessin Dolak”. Dessin beerti orang dan Dolak beerti laut. Tutur kata di kalangan Orang Laut adalah agak kasar kesan daripada persekitaran mereka sebagai pelaut. Orang Laut suka merendah diri dan kadangkala merasakan mereka serba kekurangan tetapi sering mengambil berat mengenai orang lain. Mereka mempunyai kepercayaan animisme namun kini Orang Laut telah memeluk Agama Islam tetapi masih ada yang mempercayai kepada kuasa-kuasa ghaib dan semangat.
Orang Kuala melantik ketua dari kalangan orang tua yang mahir dalam pelayaran. Gelaran yang diberikan ialah Batin, Jenang, Jukrah, Panglima dan Hulubalang. Memandangkan Orang Kuala telah menganut Agama Islam sebelum abad kesembilan belas, D.Y.M.M. Sultan Johor melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Johor, memerintahkan agar nama-nama kampung Orang Asli seperti Kampung Orang Asli Kuala Rengit ditukar kepada Kampung Bumiputera Dalam. Pertukaran nama kampung dapat merapatkan lagi jurang pemisah antara etnik. Perubahan ini melibatkan gelaran Batin ditukar kepada Penghulu.
Terdapat banyak persamaan tentang adat istiadat Orang Kuala dengan masyarakat orang Melayu kesan daripada pengaruh persekitaran penempatan dan mereka juga adalah di antara golongan masyarakat Orang Asli yang telah maju. Mereka lebih bangga dipanggil “Orang Melayu” kerana ini merupakan satu penghormatan, malah ada di antaranya berkahwin dengan orang Melayu.
Upacara perkahwinan juga mengikut adat istiadat orang Melayu seperti bersanding, berinai dan sebagainya. Kebanyakan pasangan terdiri dari masyarakat mereka sendiri dan jarang berpoligami memandangkan taraf ekonomi yang agak rendah. Secara amnya dapat dikatakan perkahwinan Orang Kuala adalah bercorak “endogami”.
Salah satu kepercayaan yang masih dipegang sehingga kini ialah mereka tidak dibenarkan membawa duit syiling sewaktu menangkap ikan kerana ditakuti duit yang dibawa itu jatuh ke dalam air menyebabkan ikan tidak masuk ke dalam jarring.
KAUM JAHAI
Kaum Jahai merupakan satu daripada Bangsa Negrito iaitu kaum yang terkecil berbanding Bangsa Senoi dan Melayu Asli. Mereka tinggal di Perak terutama Banun, Sungai Tiang dan persisiran Empangan Temenggor. Di Negeri Kelantan pula mereka tertumpu di Sungai Rual dan Jeli.
Pada amnya Orang Jahai mempunyai rupa paras seperti orang Habsyi atau Negro di Afrika, kaum Andaman dan Aeta di Filipina. Mereka berkulit hitam, rambut keriting halus, hidung pesek dan mata bulat. Rumah mereka dibina berbentuk pisang sesikat dan diperbuat daripada buloh, beratapkan daun bertam dan tepus. Mereka mengamalkan hidup berpindah-randah apabila berlaku kematian, penyakit ganjil, perbalahan kecil kerana keperluan makanan dan pertambahan penduduk.
Penghulu merupakan orang yang dilantik untuk mentadbir kampung dimana semua permasalahan akan dirujuk kepadanya. Penghulu yang dilantik adalah mengikut keturunan atau warisan (saka). Kebiasaannya Penghulu mestilah orang yang dipercayai dan mempunyai pengaruh di dalam sesebuah kampung itu.
Masyarakat Jahai mempunyai bilangan keluarga yang kecil iaitu antara tiga hingga enam orang. Keadaan ini ada hubungannya dengan amalan hidup mereka yang terpaksa menahan nafsu sehingga si anak putus susu. Mereka juga mengamalkan memakan ubatan tradisional seperti “Akar Gajah Beranak” dan “Akar Manang”
Masyarakat Jahai mengamalkan bercucuk-tanam secara kecil-kecilan seperti menanam pisang, jagong, padi huma dan ubi kayu. Sumpit merupakan senjata utama sewaktu keluar berburu binatang. Anak damak akan dibubuh racun dari getah pokok ipoh.
Masyarakat ini tidak mempunyai adat tertentu di dalam menguruskan hal-hal perkahwinan. Pasangan tertentu boleh berkahwin jika mereka bersetuju dan mendapat restu dari kedua-dua pihak. Setelah mendapat persetujuan, kedua pasangan dibenarkan tinggal dan tidur bersama.
Kaum Jahai masih tiada pegangan agama kerana mengamalkan “Animisme” yang mempunyai kepercayaan bahawa sesuatu tempat dan setiap perkara yang berlaku disebabkan oleh penunggu yang dipanggil ‘Karei’ atau ‘Ungku’. Mereka juga masih teguh mengamalkan pantang-larang dalam kehidupan seharian.
KAUM JAKUN
Kaum Jakun (Orang Ulu) merupakan salah satu suku bangsa dari Orang Melayu Asli (Melayu Proto) yang tingal di Selatan Semenanjung Malaysia. Kaum ini berasal dari Yunan (Selatan China) dan berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu kira-kira 5000 tahun yang lalu. Masyarakat Jakun mengamalkan animisme dan kehidupan mereka dipengaruhi oleh alam sekitar seperti gunung, bukit, lembah, sungai, batu, gua dan sebagainya. Suku kaum Jakun di Negeri Johor mempercayai wujudnya dua tuhan iaitu ‘Tuhan Atas’ dan ‘Tuhan Bawah’. Tuhan Bawah yang menjaga bumi ini merupakan suami kepada Tuhan Atas yang memayungi bumi. Masyarakat ini juga mempunyai pegangan ‘Ruyub dan Raib’ yang merupakan kitab suci masyarakat Jakun tetapi diwarisi dalam bentuk lisan sahaja. Pantang larang amat dipatuhi dan sekiranya dilanggar maka musibah akan melanda kampung mereka.
Setiap kampung masyarakat Jakun dipimpin oleh seorang ketua yang dipanggil “Batin”. Batin berkuasa penuh di atas segala hal ehwal kampung dan adat istiadat. Batin dibantu oleh beberapa orang seperti Mangku, Jukrah dan Setia untuk memudahkan beliau melaksanakan kerja-kerja pentadbiran.
Di dalam masyarakat Jakun, majlis perkahwianan merupakan satu acara untuk bersukaria dimana para tetamu tidak dijemput hadir secara rasmi. Pasangan pengantin menjalani istiadat mendengar nasihat yang berkaitan dengan hal rumahtangga dimana ia memakan masa yang panjang sehingga berlarutan beberapa hari. Sesiapa sahaja boleh memberi nasihat tetapi kebiasaannya mereka dari golongan orang berumur dan mempunyai pengalaman yang luas.
Lazimnya apabila berlaku kematian, semua aktiviti harian dihentikan serta-merta. Sesiapa yang meneruskan aktiviti setelah mengetahui adanya kematian dipercayai akan ditimpa malapetaka dan jatuh sakit. Telinga kanak-kanak diconteng dengan kapur sireh atau arang yang telah dijampi oleh pawang atau bomoh. Arang disapu di kening, dada dan tapak kaki selama tujuh hari berturut-turut pada waktu malam sebagai pendinding untuk mengelakkan gangguan hantu dan syaitan yang telah membunuh si mati. Setelah mayat dikebumikan, keluarganya memasang api ditepi kubur manakala dibawah rumah dinyalakan unggun api. Pasir halus yang dijampi serapah ditabur di sekeliling halaman dan dinding rumah selama enam hari berturut-turut supaya terkena kepada mata hantu-hantu yang masih ada di kawasan rumah.
Tetamu atau pelawat yang hadir semasa pengebumian tidak dibenarkan memungut semula sebarang makanan atau rokok yang telah jatuh ke tanah kerana dipercayai hantu mayat akan menuntut mayat tersebut. Denda “Bangun Nyawa” dikenakan kepada sesiapa yang melanggar larangan ini mengikut kadar yang ditetapkan oleh Batin atau pawang. Keluarga si mati tidak boleh bersukaria dan berpakaian cantik semasa dalam tempoh berkabung bagi menghormati si mati dan rohnya.
KAUM JAHUT
Kaum Jahut terdapat di Daerah Temerloh dan Jerantut di Negeri Pahang. Masyarakat ini menyara kehidupan dengan mencari rotan dan damar untuk dijual selain melakukan kerja-kerja menanam padi huma, jagung dan ubi. Mereka juga melakukan aktiviti memburu binatang dan menangkap ikan. Kaum Jahut menganut animisme di mana mereka mempercayai setiap benda mempunyai semangat atau penunggu di samping percaya adanya kuasa ghaib, hantu dan syaitan. Kaum ini mempercayai bahawa padi yang ditanam mempunyai semangatnya sendiri, oleh itu mereka sangat menjaga adab-adab ketika menuai padi agar semangat padi tidak tersinggung. Antara perbuatan yang boleh menyinggung semangat padi ialah bersiul dan memakan nasi di sisi padi.
Mengikut amalan tradisi kaum Jahut, jawatan Batin diwarisi turun temurun oleh anak lelaki sulung tetapi mestilah berpengatahuan di dalam adat istiadat dan perubatan tradisional. Perlantikan ini perlu mendapat persetujuan daripada Penghulu Mukim dan direstui oleh Sultan.
Dalam kehidupan masyarakat Jahut perkahwinan mesti mengikut hukum adat yang diwarisi. Pasangan pengantin tidak mempunyai perhubungan antara adik-beradik, sepupu, dua pupu, anak saudara, emak saudara, anak tiri, bapa tiri, emak tiri, menantu, tunangan orang dan isteri orang. Majlis pernikahan dijalankan pada waktu malam di rumah pihak perempuan dan tetamu yang hadir merupakan keluarga dari kedua belah pihak sahaja. Pengantin lelaki diiringi oleh pengapitnya untuk menikmati satu jamuan khas yang dipanggil ‘Makan Beradab’, dimana dia perlu duduk mengadap pengantin perempuan bersama dengan pengapit. Setelah selesai acara itu, pihak lelaki akan menjamu pihak perempuan dengan sireh pinang dan rokok disamping memberi kata-kata nasihat kepada kedua mempelai. Satu upacara ‘pembayaran adat’ diadakan di rumah pengantin lelaki keesokan hari disamping kata-kata nasihat dari pihak pengantin lelaki. Mengikut adat tradisi kaum Jahut, anak perempuan tidak boleh tinggal berjauhan dari keluarga asalnya.
Bagi masyarakat Jahut amalan memanggil nama jiran yang telah berkeluarga berdasarkan nama anak sulung mereka. Sebagai contoh jika anak sulung bernama Abu maka panggilan kepada bapa ialah Pak Abu atau Tai Abu. Ibu pula dipanggil Mak Abu, Deh Abu atau Wei Abu. Tidak ada panggilan khusus kepada anak-anak.
KAUM TEMIAR
Penempatan Kaum Temiar di sesuatu tempat ditentukan oleh Penghulu dan mesti jauh daripada tanah perkuburan serta bebas daripada adanya kayu keras seperti kayu ‘merbau’. Kawasan dipilih dengan mengunakan cara ‘berhalaq’ (jampi), atau menerusi mimpi. Kaum Temiar mengamalkan animisme dan percaya kepada hantu dan penunggu bagi sesuatu tempat. Mereka tidak membuat penempatan di kawasan yang berpaya, kawasan air terjun dan juga sungai besar kerana dipercayai adanya puteri sungai/lata yang mendiami kawasan itu.
Kaum Temiar membina rumah daripada kayu (selain daripada kayu dari jenis yang keras) secara bergotong-royong di mana pada peringkat awal penempatan mereka akan membina rumah panjang. Setelah agak beberapa lama tinggal barulah mereka berpindah dengan keluarga masing-masing dan membina rumah sendiri. Kaum Temiar menyara kehidupan dengan bercucuk tanam, berburu dan mencari tumbuh-tumbuhan hutan.
Masyarakat Temiar dipimpin oleh Penghulu dimana Kuasa Penghulu terikat dengan adat resam dan pantang larang kaum. Beliau berkuasa mengarahkan anak-anak buahnya bergotong-royong menjalankan aktiviti kampung serta merestui sesuatu perkahwinan. Beliau memainkan peranan sebagai hakim, penasihat dan penghubung dengan masyarakat serta agensi luar. Selain itu penghulu mestilah berkebolehan sebagai bomoh tradisional (Halaq).
Di dalam masyarakat Temiar, seorang anak teruna yang ingin berkahwin perlulah dapat menyakinkan bakal mertua akan kewibawaannya dengan menawarkan diri untuk menguruskan kerja-kerja seharian. Adat ini dikenali sebagai ‘Adat Menunggu’. Kedua belah pihak perlu bersetuju dengan perkahwinan anak mereka sebelum berjumpa Penghulu untuk mendapatkan restu dan seterusnya menetapkan hari langsung. Majlis perkahwinan dijalankan pada waktu malam dengan kedua-dua pihak membawa pengiring yang terdiri daripada keluarga masing-masing. Pihak pengantin perempuan menyediakan sebuah bilik khas bagi kedua pengantin dan pengiring tidur bersama. Pengiring memerhatikan gerak laku pengantin baru dan seterusnya melaporkan kepada kedua belah pihak. Majlis jamuan diadakan pada malam kedua. Mereka membakar kemenyan dan menabur bertih agar rumahtangga pasangan pengantin sentiasa bahagia serta dijauhi daripada segala penyakit. Majlis ini biasanya diserikan lagi dengan tarian sewang.
Sewang merupakan upacara menurun untuk mendapatkan ilham. Senikata lagu sewang diperolehi oleh Tok Halaq melalui mimpi. Sewang dilakukan pada malam hari dan berjalan selama tiga hingga tujuh hari berturut-turut bergantung kepada makanan yang ada. Mereka akan menari dengan cara mengelilingi pentas secara berpusing. Terdapat dua jenis sewang iaitu ‘Sewang Pantang’ dan ‘Sewang Umum’. Setiap sewang mengambil masa selama 15 minit yang dijalankan oleh ‘Juru Sewang’. Juru Sewang akan berdendang hingga tidak sedarkan diri dan dipulihkan oleh Tok Halaq.
Kematian di dalam masyarakat Temiar disahkan oleh Tok Halaq. Mayat tidak boleh dimandikan atau dibersihkan. Ia dipakaikan dengan pakaian baru dan diselimut dengan selimut yang baru, digulung dengan tikar baru dan diikat. Mayat diletakkan di atas pengandar (usungan) yang dibuat daripada buluh cincang. Sebelum dikebumikan, unggun api dinyalakan di bahagian kepala dan kaki si mati untuk menggelakkan rohnya mengganggu ahli keluarga. Nyanyian ‘Chinchemm’ (lagu sedih) dinyanyikan semasa mayat di bawa ke tanah perkuburan terletak di seberang sungai untuk menggelakkan hantu yang membawa kematian, balik semula. Liang dikorek sedalam dua meter, semua harta kepunyaan si mati ditanam bersama-sama mayat sebelum barang-barang lama dan rumahnya dibakar.
Sekiranya Tok Halaq yang meninggal dunia, mayatnya tidak terus ditanam sebaliknya diletakkan di dalam bilik khas di rumahnya. Kaum keluarga akan menyalakan unggun api di bawah rumah tersebut selama tujuh hari untuk menggelakkan mayat diganggu oleh binatang buas. Mereka akan berpindah ke tempat baru dan berkabung selama 40 hari dengan semua aktiviti berbentuk hiburan diharamkan. Setelah selesai tarikh berkabung barulah masjlis kenduri diadakan.
KAUM MAH MERI
Mah Meri bermakna “Orang Hutan” sementara dalam istilah bahasa Mah Meri disebut ‘bersisik’. Mereka juga dikenali sebagai orang laut kerana bekerja sebagai nelayan. Tiada bukti sejarah yang tepat mengenai asal usul kaum ini namun dipercayai berhijrah dari pulau-pulau di Selatan Johor ke pantai Negeri selangor kerana melarikan diri dari musuh. Mereka mengamalkan animisme di mana objek di persekitaran mereka seperti pokok besar, batu dan sungai mempunyai kuasa yang baik dan jahat. Kuasa ini dipanggil ‘Orang Halus’ atau ‘Moyang’. Mereka ini masih mengamalkan adat resam serta pantang larang yang tersendiri.
Kaum Mah Meri melantik seorang ketua yang dikenali sebagai ‘Batin’ bagi menangani masalah berhubung dengan kematian, perkahwinan dan adat istiadat. Jawatan Batin akan dibantu oleh beberapa orang lain seperti Jenan yang merupakan orang paling kanan selain boleh memangku jawatan Batin serta menjadi penasihat kepada penduduk kampung. Penghulu membantu Jenan dan bertindak sebagai penyelaras kegiatan kampung serta menjadi saksi di dalam setiap uapacara perkahwinan. Jukrah pula bertindak membantu Penghulu dan memberi arahan dalam melaksanakan aktiviti kampung dan keluarga. Penggawa pula berperanan sebagai penasihat, penyiasat, pendakwa berkaitan masalah kampung dan keluarga. Akhir sekali jawatan Laksamana membantu dalam melaksanakan arahan daripada jawankuasa tertinggi.
Dalam masyarakat Mah Meri, ikatan perkahwinan merupakan satu perkara suci yang mesti diberi perhatian sewajarnya. Pasangan yang ingin berkhwin mestilah mendapat restu dari kedua belah pihak dan masyarakat ini tidak mengamalkan poligami. Apabila tiba upacara persandingan, pengantin lelaki diarak oleh saudara mara kerumah pengantin perempuan. Pengantin perempuan menyambut pengantin lelaki di pertengahan jalan dan mereka berjalan beriringan menuju ke pelamin yang disediakan. Upacara mempersembahkan silat, berinai dan menepung tawar diadakan setelah kedua pengantin duduk di pelamin. Pada malam tersebut pengantin lelaki dibenarkan bermalam di rumah pengantin perempuan. Pada keesokan harinya kedua-dua pengantin dimandikan dengan air mawar sebanyak tujuh tempayan untuk membuang bala. Mereka
dimestikan mengasah gigi yang dijalankan oleh bomoh khas. Upacara terakhir dalam majlis perkahwinan Mah Meri ialah upacara “pengenalan” kepada wali kedua belah pihak dan seterusnya akad nikah. Dalam majlis ini kedua pengantin diberi nasihat mengenai keharmonian rumahtangga.
Jika kematian berlaku di dalam sebuah keluarga maka anak sulung atau waris terdekat mestilah memaklumkan kepada Batin sebelum menyebarkan berita tersebut kepada penduduk kampung. Mayat diletakkan di tempat yang lapang seperti di serambi rumah. Sebagai tanda menghormati mayat setiap tetamu yang datang membakar kemenyan dan bersepah serta mendoakan agar simati berada di dalam keadaan yang baik. Selagi mayat berada di dalam rumah mereka tidak dibenarkan makan dan minum kecuali untuk roh simati dimana satu hidangan diletakkan ditempat khas. Mayat perlu dijaga supaya tidak dilangkah terutamanya kucing kerana dipercayai mayat akan dirasuk oleh hantu dan bangun berjalan serta mengganggu ahli keluarganya. Pengebumian mayat diuruskan oleh Batin dan bomoh serta ditanam di dalam lubang sedalam dua meter. Sebagai mengingati simati, satu majlis pemujaan diadakan pada hari ketujuh, keempat puloh empat dan keseratus hari. Harta peninggalan simati akan diberikan kepada anak yang tertua dan dibahagi-bahagikan dikalangan ahli keluarga. Balu simati tidak dibenarkan berkahwin lain dalam tempoh seratus hari selepas hari kematian suaminya.
KAUM SEMAI
Kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa meliputi Negeri Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Sebuah kampung biasanya terdapat 60 hingga 300 orang penduduk dengan diketuai oleh seorang Penghulu atau Batin. Batin dilantik dari seorang yang sangat berpengaruh, mengetahui adat resam masyarakat dan berilmu. Batin bertanggungjawab menentukan sistem adat, mentadbir kampung dari segi pembangunan dan keselamatan. Beliau juga bertanggungjawab ke atas perhubungan dengan masyarakat luar serta agensi kerajaan. Kaum Semai sama seperti Orang Asli yang lain mengamalkan hidup berpindah randah. Mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai sayur-sayuran adalah hasil tanaman mereka. Mereka saling bertukar-tukar bahan makanan bagi mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di dalam masyarakat. Berburu juga merupakan salah satu aktiviti yang dilakukan oleh masyarakat Semai.
Bagi seorang teruna atau gadis yang telah mencapai umur 17 hingga 18 tahun mereka akan mula mencari pasangan hidup. Pada masa dahulu jika seorang teruna yang ingin mencari pasangan hidup beliau akan merantau ke tempat lain. Setelah bertemu gadis pilihannya maka ia bermalam disitu dengan persetujuan daripada pihak ibubapa. Apabila senja menjelang, si bapa menyuruh anak gadisnya membentang tikar di tempat tidur. Si teruna dipelawa untuk memilih tempat tidur yang disukainya dan pada masa itu juga mereka akan tidur bersama dan disahkan sebagai suami isteri oleh bapa si gadis.
Dewasa ini masyarakat Semai mengamalkan adat tertentu di dalam mencari jodoh untuk anak-anak mereka. Setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk berkahwin, mereka ditemukan dalam satu pakatan sulit antara kedua pihak. Adat ini dikenali sebagai adat merisik (berkenalan). Selepas itu pihak lelaki akan menghantar alat adat meminang seperti sepasang persalinan pakaian pengantin, wang RM60.25, sehelai selendang, sebentuk cincin perak dan tepak sireh sebagai adatnya. Dalam tempoh pertunangan, bakal pengantin lelaki dikenakan bayaran ‘Tanggung Nafkah’ kepada bakal isterinya iaitu wang sebanyak RM15.00 sebulan. Apabila tiba harinya, sebelum bersanding kedua-dua pengantin dikenakan adat seperti berinai di rumah masing-masing, bergandik bagi pengantin perempuan, mengunting rambut bagi pengantin lelaki, mandi air limau yang telah berjampi bagi kedua-dua pengantin bagi mengelakkan sebarang bala. Selepas menerima kebenaran masuk maka Mas Wali membuka tirai yang menutupi pelamin dimana pengantin perempuan berada. Pengantin lelaki duduk disebelah kanan pengantin perempuan dan adat menyuap Nasi Kunyit/ Nasi Damai dan makan sireh akan disempurnakan oleh kedua pihak. Nasihat mengenai kerukunan rumahtangga dan seterusnya dengan membentangkan adat istiadat di hadapan kedua wali, maka perkahwinan telah sah daripada adat isitadat kaum Semai.
Apabila berlaku kematian d dalam masyarakat, maka semua aktiviti harian dihentikan kerana dikhuatiri roh si mati akan marah dan menegur orang yang tidak meghormatinya. Pada malam hari penduduk kampung berjaga di rumah simati sehingga pagi bagi menggelakkan mayat diganggu oleh hantu atau dilangkah oleh kucing kerana dipercayai mayat akan bangun dan mengacau. Api dinyalakan disekeliling rumah untuk mengelak atau menghalau hantu yang menyebabkan kematian. Kanak-kanak ditangkal dengan menconteng arang di kedua-dua kening atau kedua-dua belah tapak kaki. Mayat dimandi dan dibungkus dengan kain baru atau kain putih sebelum dibungkus dengan tikar dan dimasukkan ke dalam liang sedalam satu meter. Sebelum dikambus, tiga kepal tanah bercampur arang yang telah dijampi diletakkan di kedua-dua belah telinga dan bahagian dada sebagai tanda memutuskan hubungannya dengan keluarga. Setelah itu, kayu yang diukir dicacak di atas kubur sebagai penanda dan diikuti dengan upacara meletakkan makanan, minuman dan rokok yang telah dinyalakan di atas kubur selama enam hari berturut-turut. Pada hari keenam kayu yang telah dibakar dialihkan untuk memberitahu simati bahawa dia telah berada di alam lain. Pada hari ketujuh, keluarga serta penduduk akan bergotong-royong menambak serta memadatkan tanah kubur supaya tidak jerlus. Penanda sementara diganti dengan batu nisan yang kekal.
KAUM CHE WONG
Kaum Che Wong tergolong di dalam kumpulan Orang Asli dari bangsa Senoi. Secara umumnya mereka adalah merupakan orang-orang bukit dan tinggal di kawasan yang terletak di antara 4000 hingga 7000 kaki dari paras laut. Kaum ini terdapat di bahagian Pahang Tengah dan tinggal jauh di dalam hutan. Mereka mengamalkan hidup berpindah randah dan bertani untuk menyara kehidupan.
Dalam masyarakat Che Wong berbagai-bagai upacara ritual dijalankan untuk bercucuk tanam. Mereka mempercayai bahawa kuasa semangat bertanggungjawab ke atas hasil pengeluaran pertanian. Pembukaan kawasan pertanian yang baru mestilah dimulakan dengan jampi serapah oleh Tok Jenang (Tok Bomoh).Pembakaran Kayu Tabak amat penting dimana asap hasil pembakaran itu menentukan kawasan yang sesuai untuk pertanian atau tidak. Jika asap kayu itu naik lurus adalah dipercayai ia tidak sesuai untuk aktiviti pertanian manakala asap kayu tabak naik dan berpecah-pecah ke merata tempat maka kawasan itu boleh memberikan hasil yang lumayan untuk bertani.
Adat perkahwinan mereka tidaklah banyak bezanya dengan Orang Asli yang lain. Jikalau perempuan dan lelaki telah saling menyukai, maka emak perempuan akan bertanya kepada anaknya, begitu juga pada pihak sebelah lelaki. Majlis mangajar ikat janji antara wali bapa saudara sebelah perempuan dan bapa saudara sebelah lelaki dijalankan. Mas kahwin sebanyak RM22.20 dikenakan ke atas pihak pengantin lelaki.
Jika berlaku kematian maka semua aktiviti harian dihentikan sebagai tanda menghormati simati. Kaum keluarga akan menjaga mayat supaya tidak dilangkahi oleh kucing, memakan buah pisang dan membelah buah pinang adalah dilarang kerana dikhuatiri menyebabkan mayat bangun. Setelah mayat dimandikan, ia dibungkus dengan kain batik dan ditanam ke dalam liang lahad yang ditutup dengan buloh atau papan.
KAUM SEMOQ BERI
Kaum Semoq Beri boleh didapati di beberapa buah negeri di semenanjung seperti Negeri Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak dan Selangor. Masyarakat Semoq Beri mempercayai kehidupan mereka dan perjalanan alam sepenuhnya dikuasai oleh kuasa tertentu yang bersifat luar biasa seperti Tuhan, Nabi Adam, Hawa dan Karci. Walaupun setiap kuasa ini mempunyai kedudukan dan sifat yang berbeza tetapi setiap satunya dikatakan saling bekerjasama semasa menjalankan tugas.
Bagi kaum Semoq Beri mereka mempunyai sistem ketuaan sendiri dan merupakan satu aspek penting dalam menentukan kestabilan puak. Jawatan ketua terdiri dari Batin, Jenang dan Jekerah. Semua jawatan tersusun secara hirarki dengan Batin berada pada paras tertinggi disusuli dengan Jenang dan Jekerah. Jumlah jawatan yang ada menggambarkan bahawa sistem ketuaan mereka adalah simple.
Unit organiasasi asas ialah kelamin. Anggota dalam satu kelamin terdiri daripada bapa, ibu dan anak dimana setiap kelamin tinggal dirumah yang berasingan. Terdapat juga dua atau lebih kelamin yang tinggal dalam satu sioh. Mui kelamin diketuai oleh suami yang berperanan melindung anggotanya.
Perkahwinan antara bujang dan dara membawa pengertian yang besar di dalam kehidupan mereka berdua dan apa yang lebih penting ianya mewujudkan kelompok kekeluargaan dan merupakan langkah pertambahan anggota puak. Proses perkahwinan bermula dengan memilih jodoh dan bertunang. Kaum lelaki boleh menentukan perempuan yang difikirkan patut menjadi isterinya. Pemilihan isteri dibuat atas beberapa kriteria seperti kecantikan, kelembutan, sikap dan kecekapan melaksanakan sesuatu kerja. Seseorang lelaki dilarang keras dari mengahwini seorang perempuan yang mempunyai pertalian darah seperti sepupunya yang pertama, kedua dan ketiga. Terdapat dua perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh pihak lelaki iaitu belanja mahar (belanja hangus) dan belanja mas kahwin sebanyak RM25.00. Ia di bayar oleh pihak lelaki pada hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dijalankan secara ringkas dimana kedua-dua mempelai ditempatkan diruang tamu rumah untuk tontonan orang ramai. Terdapat dua acara penting pada waktu ini iaitu upacara penyerahan wang belanja tubuh oleh pengantin lelaki sebagai simbol berlangsungnya perkahwinan. Di akhir majlis Batin akan memberi nasihat kepada kedua-dua pengantin.
Apabila terdapat kematian (kebus) maka urusan pengebumian tidak terus diadakan. Orang mati (kebus) dibiarkan di rumah selama satu malam bertujuan supaya kemut berpeluang untuk bermesra dengan anggota keluarga sebelum mati ke tempat asal. Dipercayai semasa berlakunya kebus roh simati dan juga kuasa-kuasa jahat seperti iblis dan syaitan sentiasa bersama dengan badan. Untuk memastikan keadaan ini, setiap kerja dalam urusan pengebumian akan diurus oleh bomoh dengan jampi-jampi tertentu.