MUZIUM WARISAN DAN SEJARAH NANING
PENGENALAN
Naning merupakan sebuah negeri Melayu dan wilayah kecil yang terletak di bahagian pedalaman utara Negeri Melaka yang bersempadan di antara Rembau (Negeri Sembilan) dengan Melaka. Naning berkeluasan kira-kira dua ratus (200) batu persegi atau dua ratus lima puluh (250) kilometer persegi. Wilayah Naning terletak kira-kira tiga puluh (30) kilometer dari Bandar Melaka.
Nama Naning diambil sempena nama serangga penyengat yang berbisa bernama Naning. Taboh dijadikan sebagai ibu negeri dan pusat pentadbiran yang utama.
Wilayah Naning mempunyai perlombongan emas dan banyak mengeluarkan hasil bumi seperti padi, bijih timah, rotan, gambir dan buah-buahan. Aktiviti pertanian merupakan aktiviti utama penduduknya.
Naning mempunyai 25 buah mukim iaitu dua puluh dua (22) buah mukim di daerah Alor Gajah dan tiga (3) buah mukim lagi di daerah Jasin.
ADAT PERPATIH KE WILAYAH NANING
Adat Perpatih tersebar ke Tanah Melayu pada kurun ke-12. Datuk Perpatih Nan Sebatang telah membawa beberapa orang Minangkabau meneroka tanah dan membuka negeri. Dipercayai kawasan awal dibuka ialah kawasan Taboh Naning dan kemudian merebak ke Negeri Sembilan. Nama Adat Perpatih bersempena mengambil gelaran Datuk Perpatih Nan Sebatang dan diamalkan di kawasan Naning.
Adat Perpatih Naning telah disusun dan ungkapan adat dijadikan sebagai komunikasi dalam kepimpinan supaya masyarakat boleh hidup dengan aman dan muafakat. Adat Perpatih ini juga membawa fahaman demokrasi iaitu kedaulatan berada di tangan rakyat. Pemerintahan dijalankan secara bermesyuarat menerusi perwakilan daripada suku-suku.
Pada hakikatnya kewujudan Adat Perpatih berdasarkan atas dua faktor utama, iaitu kekeluargaan atau kerabatan dan tanah. Setiap satu faktor ini ialah pelengkap kepada yang lain. Hal ini bererti bahawa masyarakat Adat Perpatih merupakan masyarakat tani yang sangat kukuh dengan ikatan kerjasama kekeluargaan. Masyarakat yang datang atau berasal dari wilayah Minangkabau memang terkenal dengan kegiatan pertanian, terutamanya kegiatan bersawah.