Galeri Portugis
TARIAN
TARIAN ‘BRANYO’
Tarian ini lazimnya diadakan pada hari-hari perayaan dan keramaian seperti perkahwinan, perayaan Natal atau Krismas dan lain-lain lagi. Tarian ini lebih popular di kalangan orang-orang yang berusia (veteran). Tarian ini diiringi oleh alat-alat muzik seperti biola dan rebana. Sambil menari mereka berbalas-balas pantun. Pihak yang menjual pantun dikenali sebagai ‘kantiga’ dan pembeli pantun disebut sebagai ‘mata kantiga’. Tarian Branyo ada sedikit persamaan dengan ronggeng atau joget lambak yang terkenal di kalangan kaum Melayu. Kebiasaannya terdapat lima hingga enam pasangan penari yang akan terlibat di dalam tarian ini.
TARIAN ‘FARAPEIRRA’
Tarian ini lebih digemari oleh muda-mudi masyarakat Portugis kerana mempunyai irama yang laju dan rancak. Pasangan penari akan mengenakan pakaian khas. Penari lelaki memakai waist-coat yang berenda dan bersulam motif bunga manakala penari perempuan akan mengenakan gaun panjang dan blouse beropol dan berenda. Tarian Farapeirra kebiasaannya dipersembahkan pada hari-hari kebesaran. Ia juga amat disukai semasa majlis perkahwinan yang berlangsung di Perkampungan Portugis pada suatu masa dahulu.