MUZIUM HANG TUAH
MUZIUM HANG TUAH
Kepahlawanan Hang Tuah menjadi inspirasi dan semangat kepada perjuangan bangsa Melayu. Kata-kata azimatnya “Takkan Melayu hilang di dunia“ menjadi kata-kata keramat yang begitu agung sehinggakan tersebar ke seluruh nusantara. Kisah Hang Tuah telah mengangkat martabat tokoh epik tersebut dalam menampilkan karisma dan ketokohannya sebagai pahlawan ulung. Selaras dengan pembangunan Perkampungan Hang Tuah, kewujudan Muzium Hang Tuah adalah untuk memberikan informasi kepada masyarakat umum dan para pelancong mengenai tokoh tempatan yang begitu masyhur namanya dalam lipatan sejarah negara. Antara artifak dan bahan sejarah yang dipamerkan ialah senjata dan pakaian tradisional. Terdapat banyak maklumat berkaitan Hang Tuah yang boleh diperolehi di muzium ini sepertimana yang tercatat di dalam buku Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah.