MUZIUM RAKYAT
TUN DATUK SERI UTAMA DR. SITI HASMAH BINTI MOHAMED ALI
Beliau merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang keempat iaitu Tun Datuk Seri Utama Dr Mahathir Mohamed. Beliau menjadi Wanita Pertama (First Lady) selama 23 tahun. Berlatarbelakang pendidikan dalam bidang perubatan, beliau sangat mengambil berat mengenai isu pembangunan kesihatan wanita, perancangan keluarga (family planning), pengawalan dadah serta masalah buta huruf dalam kalangan wanita. Pada ketika ini, beliau dilantik sebagai Canselor Universiti Multimedia.
DATIN PADUKA SERI ENDON BINTI MAHMOOD
Beliau pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebelum berkahwin dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau bersara pilihan pada tahun 1976. Datin Paduka Seri Endon sentiasa memberi sokongan moral kepada suaminya, apatah lagi apabila suaminya dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima pada tahun 2004. Tidak dapat dinafikan bahawa beliau sangat aktif dalam aktiviti kebajikan dan kebudayaan. Beliau banyak menubuhkan tabung kebajikan kerana sifat keprihatinannya terhadap permasalahan orang ramai.
Selain itu, beliau merupakan tokoh yang sangat penting dalam memperkenal dan mempromosikan tekstil tempatan ke seluruh dunia, terutama sekali penggunaan corak batik dan tenunan songket. Beliau meninggal dunia pada Oktober 2005 akibat Kanser Payudara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya.
TOH PUAN UMASUNDARI SAMBANTHAN
Toh Puan Umasundari Sambanthan merupakan isteri kepada mendiang Tun V.T Sambanthan. Di sebalik kejayaan suami dalam bidang politik, beliau sendiri merupakan seorang aktivitis, pekerja sosial serta pelopor bagi pergerakan usahasama di Malaysia. Individu istimewa ini merupakan cahaya mata bagi pasangan O.M Subramaniam dan Jayalakshmi Swaminathan Sastrigal. Beliau dilahirkan di Bruas, Perak dan mendapat pendidikan di Anglo Chinese School di Sungai Siput, Perak. Beliau pernah dianugerahkan Biasiswa Pelajar India Terbaik Tahunan pada tahun 1942. Seterusnya, melanjutkan pelajaran dalam bidang sains di Universiti Madras, pengkhususan dalam bidang kimia dan mendapat Kepujian Kelas Pertama.
Sumbangan beliau amat jelas terutama sekali dalam soal kerakyatan sewaktu zaman pra-merdeka. Beliau bergiat aktif bagi memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat terutama golongan wanita yang tinggal di bandar tentang kepentingan proses kerakyatan. Beliau juga bertungkus-lumus memastikan penoreh getah yang tidak berpelajaran tidak ketinggalan dalam arus permodenan.
Selain itu, beliau juga terlibat dalam usaha memperjuangkan hak serta status wanita dan kanak-kanak, antaranya melalui National Council of Women's Organisations (NCWO). Beliau sendiri telah berkhidmat dan memegang jawatan sebagai presiden selama empat tahun dan merupakan ahli seumur hidup. Malahan, beliau telah dianugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah oleh NCWO pada tahun 1992 sempena sambutan Hari Wanita. Beliau juga aktif dalam Associated Country Women of the World (ACWW), Persatuan Sri Ramakrishna Sarada dan Children's International Art Class. Beliau juga memainkan peranan sebagai pengerusi dan pengarah bagi National Land Finance Co-operative Society (NLFC). Pada tahun 1996, beliau turut menghadiri Asean Regional Conference of the International Cooperative Alliance yang berlangsung di Kuala Lumpur.
TAN SRI SITI NORMA BINTI YAAKOB
Pada 30 Januari 2008, bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Norma binti Yaakob, dilantik sebagai salah seorang daripada enam hakim baharu Mahkamah Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai (DIFC).
Siti Norma merupakan hakim wanita pertama menyertai mahkamah tersebut. Ia merupakan satu sistem kehakiman bebas yang mempunyai bidang kuasa mengenai perkara berbangkit dalam dan luar DIFC. Ia ditubuhkan mengikut undang-undang yang digubal oleh Naib Presiden UAE, Perdana Menteri dan Pemerintah Dubai, Mohammed Rashid al Maktoum pada Disember 2004.
Siti Norma bersara pada umur 67 tahun pada 5 Januari 2007 setelah 47 tahun berkhidmat dalam profesion perundangan di negara ini. Merupakan wanita pertama Malaysia dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sebelum menjadi Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Besar Malaya pada tahun 2005.
PROFESOR DATUK DR MAZLAN BINTI OTHMAN
Beliau dilahirkan pada 11 Disember 1951, di Seremban, Negeri Sembilan. Menerima pendidikan awal dari Kolej Tunku Khursiah, Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1971 dan seterusnya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik di University of Otago, New Zealand pada tahun 1975. Kemudiannya beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Astrofizik pada tahun 1981 di universiti yang sama.
Beliau merupakan wanita Malaysia pertama yang mempunyai kelayakan dalam bidang Astronomi dan Astrofizik dan satu-satunya wanita profesional dalam bidang Astrofizik. Beliau juga merupakan salah seorang pakar yang dilantik oleh kerajaan bagi menyediakan kertas kerja untuk menubuhkan Planetarium di Kuala Lumpur. Selain itu, beliau merupakan anak Malaysia pertama memohon menjadi seorang kosmonaut. Dr. Mazlan Othman juga merupakan Ketua Pengarah pertama Agensi Sains Angkasa Lepas, merangkap Profesor Astrofizik di Universiti Kebangsaan (UKM) pada tahun 2002. Paling membanggakan wanita di Malaysia ialah beliau merupakan wanita pertama lulus Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Fizik dari University of Otago, New Zealand pada tahun 1981.
TAN SRI DR SALMA BINTI ISMAIL
Beliau merupakan wanita Melayu pertama bergelar doktor. Beliau juga telah mengabdikan diri dalam bidang perubatan selama lebih setengah abad. Kini usianya mencecah usia 90 tahun dan terpaksa akur dengan kekangan usia. Meskipun begitu, masih belum jemu dengan profesion kedoktoran.
Sejak menggenggam ijazah doktor perubatan pada tahun 1949, beliau hanya bersara sepenuhnya daripada bidang itu pada 2005 ketika usianya 87 tahun.
Salma yang dilahirkan pada 19 Disember 1918 di Kampung Perak, Alor Setar, Kedah berkata, pada awalnya beliau tidak bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Sebaliknya, selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1936, Salma dipilih oleh Kerajaan Kedah untuk mengikuti kursus Perubatan di sebuah kolej perubatan di Singapura. Beliau mengakui bahawa peluang yang diberikan oleh Kerajaan Kedah pada ketika itu bukanlah satu paksaan terhadapnya.
Bermula pada detik itu, Salmah tidak menoleh ke belakang, walaupun mengakui bidang perubatan sangat sukar lebih-lebih lagi bagi golongan wanita pada zaman itu. Walaupun pengajiannya terganggu selama beberapa tahun apabila tentera Jepun menawan Tanah Melayu, Salma tekad menyambung semula pelajarannya sehingga bergelar doktor.
Anak sulung daripada empat beradik ini pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Alor Setar selepas tamat pengajian. Komitmen beliau sebagai seorang doktor masih kekal walaupun sudah mendirikan rumah tangga. Beliau telah berkahwin dengan Dr. Abu Bakar Ibrahim pada tahun 1950 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Pada tahun 1956, Salma melanjutkan pengajian dalam bidang Obstetrik di Dublin, Ireland dan kemudian berkhidmat di Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian.
TUN TEJA
Tun Teja Ratna Benggala
Pandai membelah lada sulah
Jika tuan tidak percaya
Mari bersumpah kalam Allah
Pantun inilah yang dipersembahkan oleh Hang Nadim kepada Tun Teja, anak Bendahara Pahang yang cantik jelita ketika beliau disoal benarkah dia akan dipersembahkan kepada Raja Melaka dan tidak dibawa lari untuk diperisterikan.
Tun Teja digelar ‘Ratna Benggala’ yang bererti ‘intan permata dari Benggala’, dan mungkin menggambarkan yang ‘tercantik antara yang tercantik’. Dalam Sejarah Melayu menyatakan ‘…terlalu baik parasnya dalam tanah Pahang, seorang pun tiada samanya pada zaman itu, barang lakunya sedap manis tiada berbagai…’.
Tun Teja dianggap terlalu cantik dan mempunyai peribadi yang menawan hati; seperti yang digambarkan oleh Seri Dewa Raja kepada Raja. Maka, baginda sangat tertarik hati kepadanya. Sayangnya, anak Bendahara Pahang itu telah bertunang dengan Raja Pahang; hanya menunggu masa yang baik untuk berkahwin.
Setelah mendengar mengenai kecantikan Tun Teja, Sultan Mahmud menawarkan kepada sesiapa yang dapat membawa pulang Tun Teja ke Melaka, akan ditunaikan segala permintaannya.
PUTERI HANG LI PO
Menurut Sejarah Melayu, Tun Perpatih Putih bertanggungjawab membawa pulang Puteri Hang Li Po ke Melaka. Kedatangan puteri ini adalah sebagai hadiah dari Maharaja China kepada Melaka sebagai menandakan jalinan hubungan persahabatan antara kedua-dua buah negara yang berdaulat.
Walaupun tiada catatan rasmi dalam rekod Kerajaan China berhubung seorang puteri China yang dihadiahkan kepada Raja Melaka, namun angkatan serta bilangan pengiring dan dayang-dayang yang sampai ke Melaka pada tahun 1460, menunjukkan satu peristiwa besar telah berlaku di Melaka. Tambahan pula, dijelaskan bahawa dikhaskan sebuah bukit yang berhampiran, sebagai kediaman puteri China serta dayang-dayang dan pengiringnya yang seramai 500 orang. Bukit tersebut dinamakan Bukit China. Sehingga hari ini masih ada tinggalan seperti perigi, perkuburan serta ciri-ciri kecinaan.
Setelah memeluk agama Islam, Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Syah. Hasil daripada perkahwinan tersebut, maka lahirlah Tun Mamat. Maka, berkembanglah zuriat keturunan Puteri Hang Li Po di kawasan Bukit China.
ZAINON BINTI MUNSHI SULAIMAN (IBU ZAIN)
Nama sebenar beliau ialah Zainon binti Munshi Sulaiman. Beliau dilahirkan pada 22 Januari 1903 di Nyalas, Melaka. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Amin Sulaiman dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sumbangan serikandi ini meliputi pelbagai bidang iaitu pendidikan, politik serta pergerakan nasionalisme di Malaysia. Di awal pembabitan, beliau berkhidmat sebagai seorang guru sebaik sahaja tamat pengajian pada usia 16 tahun. Beliau juga pernah dilantik sebagai ketua bagi Persatuan Guru-Guru Perempuan Melayu dari tahun 1930-1949. Selain itu, sebuah terbitan tulisan jawi, 'Bulan Melayu' turut diterbitkan khusus untuk guru-guru perempuan atas inisiatif Ibu Zain.
Penglibatan beliau di dalam politik bermula pada tahun 1946 apabila beliau menjadi tokoh terawal dalam penubuhan UMNO. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Ketua Persatuan Kaum Ibu dan berkhidmat selama empat tahun. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama sepenggal dan pernah membantu Dato' Onn Jaafar dalam Pergerakan Melayu Semenanjung.
Tokoh negarawan ini meninggal dunia pada 2 April 1989 di Muar, Johor dan disemadikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiyah, Johor.
TAN SRI ROSEMARY CHONG
Beliau merupakan isteri kepada mendiang Dr. Ching Yaw Zhing. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata. Beliau merupakan wanita Cina pertama yang dilantik sebagai Ahli Parlimen serta pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen (Parliamentary Secretary) dan Timbalan Menteri. Selain itu, beliau juga merupakan ahli wanita pertama dianugerahkan gelaran Tan Sri oleh Yang DiPertuan Agong. Beliau juga adalah pengasas kepada Wanita MCA.
Beliau kemudiannya mengundurkan diri daripada arena politik pada tahun 1986 dengan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Menteri Kementerian Budaya, Belia dan Sukan.
Walau bagaimanapun, beliau masih lagi aktif dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan. Antaranya ialah menubuhkan Tabung Kebajikan Ampang Old Folk Home dan sebagainya. Beliau juga aktif dalam persembahan opera bagi mencari dana untuk Persatuan Orang Buta.
ROSLINDA SAMSU
Ratu lompat galah negara Roslinda Samsu yang dilahirkan di Kuala Nerang, Kedah, telah menunjukkan kecemerlangan yang kian melonjak, termasuk meraih pingat emas Sukan SEA 2005 di Filipina. Semasa Sukan SEA ke-23 di Stadium Olahraga Peringatan Rizal, Manila, Roslinda mengutip emas setelah melepasi ketinggian 4.10 meter.
Beliau juga telah merangkul pingat emas dalam Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Amman, Jordan. Di gelanggang tersebut, beliau telah mencipta rekod ketinggian iaitu 4.20 meter. Beliau terlibat dalam bidang sukan sejak tahun 1998.
SITI SHAHIDAH BINTI ABDULLAH
Rezeki jaguh baling tukul besi wanita negara, Siti Shahidah Abdullah semakin melimpah ruah selepas berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara Olahraga Sukan SEA ke-24 di Korat. Beliau merupakan anak jati FELDA Panching Selatan, Kuantan, Pahang Darul Makmur. Beliau terus membuktikan bahawa wanita Malaysia unggul dengan mempertahankan emas Sukan SEA ke-23 di Filipina. Beliau merupakan salah seorang atlit yang menyumbang satu daripada tujuh emas Skuad Negara di Korat.
DATUK ROBIAH BINTI ABDUL GHANI
Wanita Malaysia yang turut menempa nama sebagai wanita terhebat ialah Datuk Robiah Abdul Ghani. Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Pahang pada 13 Julai 2008 dan merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan berkenaan.
Robiah 55, yang berpangkat SAC memulakan perkhidmatan dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia sejak 37 tahun yang lalu. Beliau dilantik memangku jawatan Ketua Polis Pahang dengan pangkat DCP berikutan persaraan Datuk Ayob Mohamed pada 12 Julai 2008.
Robiah menyertai PDRM pada 15 Disember 1971 dan memegang pelbagai jawatan dalam PDRM termasuk sebagai Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak dan pegawai platun komander wanita di Ulu Kinta, Perak pada tahun 1974.
Robiah yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata, pelantikannya itu adalah suatu penghormatan yang mengangkat martabat golongan wanita dalam pasukan polis.
KOLONEL FADZLETTE MERICAN IDRIS
Fadzlette Merican Idris telah muncul sebagai wanita pertama dalam sejarah Kor Perkhidmatan Am (KPA) (Perhubungan Raya) Tentera Darat yang memakai pangkat Kolonel.
Beliau muncul sebagai wanita kedua dalam kalangan pegawai Tugas Am yang memakai pangkat itu, selepas Kolonel Norulhuda Ahmad yang kini menjadi Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan di Pusat Serantau Asia Tenggara bagi mencegah keganasan di bawah Kementerian Luar Negeri.
Menurut Fadzlette, pemakaian pangkat itu turut membuktikan bahawa organisasi Tentera Darat tidak hanya didominasi oleh lelaki. Beliau telah berkhidmat lebih daripada 27 tahun bersama ATM dan kini menyandang jawatan Pemangku Pengarah KPA (Perhubungan Raya) di Kementerian Pertahanan Malaysia.