MUZIUM RAKYAT

MASYARAKAT MELAYU : SEJARAH

Sebagai penduduk asal dan pemerintah negeri ini, orang Melayu menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja berasaskan pertanian seperti menoreh getah, nelayan, bertani dan menjalani kehidupan yang ringkas serta mudah. Apabila berada di Melaka, anda akan menemui kampung Melayu berada di celah-celah pepohon nyiur yang melambai. Keunikan rumah-rumah kayu yang dibina ini terletak pada tangga batunya yang bercorak jubin dan beraneka warna. Pada awal tahun 1800-an. Pesuruhjaya Tanah Encik JF Morten telah membantu membangunkan Kampung Morten atau Kampung Baru.

Wanitanya memakai pakaian yang longgar serta berkain sarong, ataupun Baju Kebaya ketat. Orang lelakinya pula memakai baju tidak berkolar yang dikenali sebagai Baju Melayu, berseluar longgar dan berkain sampin. Dalam majlis perkahwinan, perayaan keagamaan atau majlis khas, kain samping digantikan dengan kain songket. Orang Melayu menganut agama Islam pada kurun ke-15 Masihi.

Pada hari ini, mereka tetap mengamalkan adat-istiadat bangsa Melayu serta agama Islam. Orang Melayu adalah penganut Islam yang menghayati rukun-rukun yang terkandung di dalam Al-Quran. Mereka mempunyai nama Arab, berkahwin mengikut undang-undang Islam, bersolat lima kali sehari dan tidak memakan babi. Kanak-kanak kampung diajar mengaji al-Quran dan kebanyakannya boleh menghafal ayat-ayat al-Quran sebelum memasuki sekolah rendah lagi. Dewasa ini, orang Melayu mencapai kejayaan yang besar dalam sektor awam dan ekonomi.

MASYARAKAT MELAYU : MASAKAN

Dari segi sejarah, kaum Melayu ini mempunyai elemen-elemen yang berasal-usul dari Sumatra, Jawa,Thailand, Sulawesi dan juga Polinisia. Dengan pengaruh tersebut tidak hairanlah jika masakan Melayu mempamerkan sedikit sebanyak kualiti kulinari dari negara berkaitan.

Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari segi keenakan tetapi juga kepedasan dan penggunaan rempah-ratusnya.

Manisan kegemaran orang Melayu ialah dari jenis bubur dan kuih-muih. Bubur pulut hitam, bubur kacang, pengat pisang dan bubur cacar (kandungan keladi, keledek dan tepung gunting) merupakan manisan yang sangat popular. Kebanyakan kuih-muih orang Melayu berasaskan beras, beras pulut dan ubi. Kuih-muih bagi orang Melayu pula ialah dodol, wajik, kuih koci, bahulu dan onde-onde.

Bagi orang Melayu, peralatan seperti batu lesung merupakan peralatan mesti ada daripada nenek moyang kita terdahulu hingga sekarang. Membuat sambal belacan menggunakan batu lesung lebih sedap berbanding menggunakan pengisar elektrik.

MASYARAKAT CINA : SEJARAH

Pada kurun ke-19, orang Cina telah berhijrah beramai-ramai ke Melaka meninggalkan pemerintahan kejam Manchu di Negara China. Mereka terpaksa membanting tulang bekerja membina jalan keretapi, melombong bijih timah dan seterusnya menubuhkan penempatan baru, yang disulami dengan kegiatan perjudian dan menghisap candu. Mereka berharap akan dapat pulang ke negara asal mereka dengan membawa kekayaan yang melimpah-ruah.

Pelbagai puak Cina ketika itu seperti Hokkien, Hakka, Teochew dan Hainan masih lagi mengamalkan adat istiadat mereka seperti budaya, makanan dan bahasa, di samping menjurus kepada pertukangan atau perniagaan tertentu. Perayaan tradisional Cina diraikan serta nilai-nilai kekeluargaan dan keagamaan disematkan dalam sanubari setiap ahli keluarga. Kebudayaan dan tradisi Cina yang kaya ini dapat disaksikan di mana-mana sahaja di Melaka. Di Jalan Hang Lekir, anda akan dapati tukang kayu menyiapkan keranda tradisional Cina. Malahan, jika bernasib baik dapat juga menyaksikan upacara pengkebumian dijalankan di ruang tamunya. Kedai-kedai antik dan cenderamata yang menjual porselin dan perhiasan indah boleh didapati di Jalan Jebat atau Jonker Walk, yang merupakan salah satu jalan terkemuka bukan sahaja di Melaka, malah di Malaysia. Jalan ini menempatkan kedai-kedai pengimport minuman keras, pendandan rambut, terompah, keranda, farmasi dengan herbal Cina, pencetak tanda, kuil yang dihimpit oleh kedai komersil, serta berpuluh-puluh kedai antik.

Café Jonker Street merupakan gabungan kedai seni dan restoran masakan Nyonya yang telah dipulihara mengikut senibina Peranakan asal. Pembuat Kasut Wah Aik masih membuat dan menjual kasut satin bersulam comel untuk wanita Cina yang kakinya dibendung atau sam chuin kam lin. Jalan Tokong atau Temple Street juga dikenali sebagai Jalan Perpaduan kerana terdapat rumah ibadat tiga agama tersergam sebelah-menyebelah. Keadaan ini telah berterusan selama beratus-ratus tahun. Gerai-gerai jualan menghiasi perkarangan Kuil Cheng Hoon Teng atau Kuil Awan Jernih, menjual lilin dan kayu cendana bagi kegunaan penganut Buddha. Kuil ini, yang dibina oleh seorang Cina yang melarikan dari daripada penaklukan Manchu dan kemudiannya diambil alih oleh pemimpin Cina tempatan pada 1645. Ia merupakan kuil Cina tertua di Malaysia.

Tahun Baru Cina disambut pada hari pertama di bulan pertama dalam kalendar orang Cina. Pada hari sebelum Tahun Baru, keluarga Cina akan mengadakan makan malam bersama. Pada Hari Tahun Baru, adalah menjadi kebiasaan bagi mereka ziarah-menziarahi sesama sendiri, di mana ang pow atau bungkusan merah berisi wang akan diberikan kepada kanak-kanak dan mereka yang masih bujang. Kebisingan dan cahaya yang dikeluarkan oleh pentas dan bunga api dianggap dapat menghalau semangat jahat di samping menambah keriangan perayaan. Pada hari ke-15, pula ialah sambutan Chap Goh Mei. Wanita Cina yang masih bujang akan meraikan hari ini dengan melontar buah oren ke laut sambil berdoa akan mendapat suami yang baik. Ching Ming atau Hari Roh jatuh pada hari ke-4, di mana ahli keluarga menziarahi tanah perkuburan dan membersihkan kubur ahli-ahli keluarga yang telah mati. Mereka akan mempersembahkan makanan, menyalakan lilin, kayu cendana dan kertas di kubur tersebut. Tanah-tanah perkuburan tersebut ialah di Bukit Cina dan Perkuburan Cina Jelutong. Hari Wesak disambut oleh penganut Buddhisme antara bulan Mei dan Jun. Para penganutnya yang memenuhi Kuil Buddha Sek Kian Eenh di Jalan Gajah Berang. Mereka akan dihiburkan dengan persembahan pencahayaan, akrobatik dan kereta berhias.

MASYARAKAT CINA : MASAKAN

Bagi kaum Cina pula bahan utama mereka ialah bahan soya (tauhu, taucu dan kicap), cendawan, bunga lili, biji-bijian dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya.

Kebanyakan masakan Cina, resepinya adalah berasal dari Negeri Cina. Contohnya yong tou foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain. Masakan ini amat diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu satunya makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran masyarakat Melaka.

Kaum Cina lazimnya memasak dengan kuali atau wok dan lazimnya mereka menggunakan penyepit ketika makan. Mereka dianggap tidak bersopan jika menjilat hujung penyepit dan meletakkan penyepit di atas mangkuk nasi. Penyepit perlu diletakkan di tempat yang telah disediakan.

MASYARAKAT INDIA : SEJARAH

Orang India mula berhijrah ke Kepulauan Melayu pada abad ke-2, lalu memanggilnya Suryana Dwipa atau Semenanjung Emas. Kebanyakan orang India di Melaka adalah orang Tamil dari India Selatan. Pada awalnya mereka bekerja dan tinggal di ladang-ladang getah. Bagaimanapun, pada hari ini mereka menjalankan pelbagai pekerjaan seperti menjual barang kemas, pakaian, runcit, pedagang dan peminjam wang.

Pengaruh budaya yang dibawa masuk oleh orang India Selatan ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam budaya kehidupan di Malaysia. Antaranya, sari sutera berwarna-warni, filem Tamil di televisyen dengan babak-babak nyanyian dan tarian, majalah mingguan India, kepercayaan Hindu yang berpengaruh dan sentiasa bersedia untuk dilentur, telah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia. Orang India ini juga memperkenalkan makanan mereka yang menyelerakan seperti kari daun pisang di mana nasi, sayur-sayuran, kari ikan dan daging diletakkan di atas daun tersebut.

Kuil Sri Poyyatha Vinagar Moorthi yang dibina oleh masyarakat Hindu Melaka pada tahun 1780-an, dihiasi patung kecil dewa-dewa, figura-figura agama dan patung lembu berwarna merah; haiwan suci agama Hindu. Kuil ini dibina bagi menghormati Dewa Vinayagar, yang berkuasa membuang segala yang menghalang para peniaga yang ingin berjaya dan menjadi kaya serta pasangan yang ingin berkahwin. Di Jalan Hang Jebat, terdapat peminjam wang Nattukottai, yang menjalankan perniagaan secara tradisional dengan bersila di atas lantai di belakang sebuah meja kecil. Thaipusampula ialah hari di mana penganut Hindu meraikan Dewa Muruga. Para penganut akan berkumpul di Kuil Sri Subramanian Devasthan di Batu Berendam untuk membayar niat menebus dosa dengan membawa kawadi yang dicucuk ke badan mereka. Mereka yang berbuat demikian sebenarnya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Thaipusam biasanya disambut dengan perarakan penganutnya, keluarga dan sahabat-handai pada waktu petang.

MASYARAKAT INDIA : MASAKAN

Masakan India terkenal dengan kepelbagaian rasanya yang tercetus melalui penggunaan rempah-ratus seperti cili, cengkih, kayu manis, jintan putih dan biji sawi. Roti yang diperbuat daripada tepung uli merupakan makanan kegemaran mereka dan terdiri daripada tosai, capati, naan dan roti canai. Masakan daun pisang, iaitu makanan diletakkan dalam daun pisang, adalah pengalaman makan yang mengasyikkan. Anda harus juga mencuba masakan orang India Islam yang sangat enak seperti nasi briyani, roti canai dan mi goreng. Masakan India lain termasuklah kurma, ayam tandoori dan kari kepala ikan.

MASYARAKAT BABA NYONYA : SEJARAH

Selain dikenali sebagai Baba Nyonya kaum ini juga digelar sebagai kaum Peranakan. Kewujudan kaum Baba dan Nyonya terjadi kerana proses perkahwinan campur antara masyarakat dari Tanah Besar China dengan penduduk tempatan. Corak kehidupan masyarakat Baba Nyonya mirip kepada kehidupan masyarakat Melayu. Mereka juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan rasmi, berkain batik atau pelikat serta menjalani upacara perkahwinan seakan-akan istiadat perkahwinan Melayu yang lengkap dengan hantaran termasuk menyerahkan tepak sirih.

Menurut Robert Queek, generasi ke-9 kaum Baba Nyonya Melaka, perbezaan yang dapat dilihat dalam masyarakat Peranakan dan kaum Melayu hanyalah dari segi agama kerana kaum ini tetap berpegang teguh kepada agama warisan mereka iaitu agama Buddha. Baba Nyonya juga berbeza dengan kaum Cina. Meskipun rupa paras mereka seperti kebanyakan kaum Cina yang lain, namun mereka mempunyai pelbagai adat istimewa yang tidak diamalkan oleh kaum Cina. Antara adat yang menjadi kepentingan kaum Baba Nyonya ialah upacara Piara Abu iaitu upacara sembahyang arwah. Masyarakat Baba Nyonya juga menyambut New Eve iaitu sambutan tahun istimewa yang disambut pada setiap bulan kelima dalam kelendar Cina. New Eve ialah hari kebesaran bagi masyarakat Baba Nyonya. Sewaktu sambutan diadakan mereka perlu menghidangkan Nasi Tahun. Malam sebelum New Eve, mereka akan mengadakan sembahyang untuk menyambut kedatangan tahun baru.

Keistimewaan kaum Baba Nyonya juga terletak pada pertuturannya. Kebanyakan mereka fasih berbahasa Melayu kerana ia adalah bahasa rasmi yang dijadikan bahasa pengantar mereka. Asas komunikasi sedemikian menyebabkan pengamalan dalam budaya mereka menyamai orang Melayu. Baba Nyonya juga menggemari Dondang Sayang, Keroncong dan Pantun malah ia diterima sebagai sebahagian daripada adat bangsa mereka. Pakaian mereka juga mirip kepada pakaian kaum Melayu. Mereka memakai kebaya, kain batik Jawa dan aksesori lengkap seperti kerongsang sama seperti kebanyakan pakaian yang dipakai oleh wanita Melayu. Kaum lelaki mereka memakai Cok Chun iaitu sejenis pakaian seakan Baju Melayu dan berpotongan serta berbutang ala cheongsam.

MASYARAKAT BABA NYONYA : MASAKAN

Makanan Nyonya, gabungan gaya masakan Cina dan Melayu, merupakan kegemaran ramai. Masyarakat Nyonya mempunyai pelbagai jenis masakan yang keseluruhannya mengandungi rempah ratus dan belacan. Air perahan beberapa jenis biji-bijian dan buah-buahan dimasukkan ke dalam lauk-pauk bagi menambah keenakannya. Masakan terkenal Nyonya termasuklah otak-otak, ayam buah keluak, sup itik, laksa lemak, jantung pisang, mi siam dan nasi kunyit. Pencuci mulut pula terdiri daripada sagu gula Melaka dan kuih koci.

MASYARAKAT CHETTI : SEJARAH

Kedatangan awal masyarakat India ke Tanah Melayu pada kurun ke-17,18 dan 19 untuk meneruskan aktiviti berdagang menjadi bertambah unik apabila ada di antara mereka yang berkahwin dengan masyarakat tempatan.

Perkahwinan campur ini menyebabkan lahirnya generasi masyarakat baru yang dikenali sebagai kaum Chetti. Pada asalnya, mereka hanya bertumpu di sebuah kampung yang dikenali sebagai Kampung Keling. Justeru itu, kerajaan berhasrat untuk menempatkan masyarakat Chetti di satu kawasan yang didiami oleh majoriti kaum mereka sendiri. Maka, kerajaan menjadikan Kampung Tujuh atau kini dikenali dengan nama Kampung Gajah Berang sebagai penempatan masyarakat Chetti.

Kaum Chetti mengamalkan corak hidup yang menggabungkan adat resam dan budaya masyarakat Melayu dan India. Gabungan dua budaya inilah yang menyebabkan kaum Chetti kelihatan sebagai sebuah komuniti yang unik. Dari segi pertuturan, mereka menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu yang diselangselikan dengan bahasa Tamil tetapi dewasa ini Bahasa Inggeris lebih digemari untuk dijadikan bahasa pertuturan rasmi.

Menurut Ramsamy Pillay, generasi ke-3 kaum Chetti, mereka masih mengekalkan adat istiadat kaum India. Namun, mereka tetap mempunyai adat dan budaya tersendiri yang tidak mempunyai kaitan dan unsur-unsur daripada bangsa lain. Antaranya ialah upacara menyambut kelahiran bayi, mencukur rambut dan upacara Bhogi atau sembahyang arwah. Mathuponggol pula ialah upacara memandi dan menghiaskan lembu manakala Karniponggol pula merupakan upacara khas bagi kaum wanita di mana adat ini mengumpulkan sejumlah anak gadis dan mereka dikehendaki memasak nasi dan membancuh susu serta membuat kerja-kerja sinonim yang dilakukan oleh wanita berkahwin. Upacara ini sebenarnya acara yang cenderung kepada pemilihan calon isteri.

Sementara itu pengaruh pakaian kaum Melayu juga amat kuat dalam masyarakat Chetti. Kaum wanita memakai Baju Kebaya dan kain sarung, manakala kaum lelaki memakai pakaian rasmi mereka iaitu Baju Melayu Telok Belanga. Masyarakat Chetti popular dengan makanan Tauchi selain Pulut Tekah dan makanan tradisi Melaka yang lain.

MASYARAKAT PORTUGIS : SEJARAH

Masyarakat Portugis muncul dari warisan kahwin campur wanita tempatan dengan pegawai-pegawai Portugis sewaktu angkatan laut Portugis yang dipimpin oleh AlFonso de Albuquerque menawan Melaka pada tahun 1511. Kehadiran mereka di Melaka menyebabkan negeri ini unik dengan pelbagai budaya dan adat istiadat. Kebanyakan kaum Portugis beragama Katolik dan mereka masih kekal mengamalkan tradisi turun-menurun. Salah satu perayaan yang masih disambut oleh mereka ialah Fiesta De Sa Pedro iaitu upacara untuk meraikan semua nelayan Portugis. Biasanya mereka akan bersuka ria pada sebelah pagi dan mengadakan upacara Merestui Bot (The Blessing Of The Boats). Dalam upacara ini bot-bot akan dihiasi dengan bendera-bendera kecil, lilin-lilin yang terpasang dan gambar St. Peter. Perahu-perahu ini kemudian direstui oleh seorang paderi semoga dilimpahkan rezeki. Semasa pesta ini diadakan semua orang Portugis akan memakai pakaian serba baru yang berwarna-warni.

Pun begitu terdapat juga pengaruh Melayu dalam kehidupan mereka terutama dari segi pakaian dan makanan. Bahasa asal kaum Portugis ialah Cristao. Namun kini mereka lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Tarian Branyo merupakan tarian popular di mana penari wanita memakai kebaya dan kain sarung manakala penari lelakinya pula memakai pakaian yang lebih kebaratan. Tarian ini diiringi dengan gesekan biola dan rebana dengan rentak muzik dan lenggok yang dikatakan menyamai Tarian Ronggeng. Ia sama sekali menyerupai Dondang Sayang dan Berpantun yang sering diamalkan oleh kaum Melayu. Tarian Branyo lebih sinonim dengan golongan tua Portugis.

Sebaliknya, tarian Farpierra pula lebih popular dalam kalangan generasi muda. Pada asalnya mereka memakai pakaian khas. Penari lelaki akan memakai bolero iaitu sejenis kalis kot yang berenda dan bersulam dengan motif-motif bunga, kain leher, skaf dan seluar panjang hitam ketat yang berles di tepi. Manakala penari perempuan pula memakai gaun panjang beserta blaus yang beropol dan berenda. Muziknya pula agak keras dan rancak dan dikatakan berasal dari Portugal dalam abad ke-16.

MASYARAKAT PORTUGIS : MAKANAN

Makanan orang Portugis mencerminkan gabungan unggul rempah-ratus, herba, serai dan bawang merah. Bagi menambah keenakan masakan, cuka, air limau, asam jawa dan buah-buah masam turut digunakan. Masakan terkenalnya ialah Kari Devil yang pedas dan mengandungi campuran rempah-ratus serta sesuai dimasukkan ayam atau daging lembu. Karing-karing Fretu pula ialah sejenis snek lazat dibuat daripada ikan goreng dan dihiasi dengan bawang merah. Makanan laut seperi ikan bakar berempah dibalut dengan daun pisang juga merupakan masakan kegemaran mereka.

MASYARAKAT ORANG ASLI ‘TEMUAN’ : SEJARAH

Istilah Orang Asli diperkenalkan dalam Bahasa Melayu pada tahun 1950-an untuk merujuk kepada beberapa kelompok kecil masyarakat khususnya yang mendiami kawasan pedalaman dan pinggiran di Melaka. Unsur-unsur misteri dan ghaib sering dihubungkait dengan kewujudan dan asal usul Orang Asli. Aspek magis dan ritual yang terkenal dalam kalangan mereka menyebabkan Orang Asli sering dianggap sebagai manusia ‘primitif’.

Realitinya, pandangan ini tidak tepat sama sekali. Dari segi teknologi moden mereka mungkin ketinggalan dan miskin namun dari segi sudut seni budaya yang telah wujud sejak berkurun lamanya, terdapat ciri-ciri kehidupan yang unik. Mereka saling bantu membantu antara satu sama lain dan intim dengan alam semulajadi.

Masyarakat Orang Asli hidup dengan selesa di kawasan pedalaman tanpa bergantung secara mutlak kepada perdagangan dengan dunia luar dan pada masa yang sama boleh mempertahankan cara hidup dan budaya mereka. Masyarakat ini tidak menghadapi masalah kesihatan yang ketara dan hidup bebas daripada pengaruh dan mainan politik yang terpaksa dilalui oleh masyarakat lain.

Namun begitu, Orang Asli telah menyesuaikan dari mereka dengan setiap perubahan dan suasana baru di samping dapat mempertahankan keunikan nilai hidup mereka daripada dicemari oleh gejala-gejala asing. Dalam menghadapi unsur-unsur luar dan cabaran hidup masa depan, mereka telah menyedari kepentingan untuk mengekalkan identiti mereka dalam kehidupan masyarakat Melaka.

MASYARAKAT SIKH/ PUNJABI : SEJARAH

Di Malaysia, komuniti Sikh merupakan sub-golongan etnik India yang dianggarkan sekitar 70,000 orang dan berasal dari wilayah India Utara. Agama Sikh yang diasaskan oleh Sri Guru Nanak Dev Ji (1469-1539) juga tersebar dan berkembang luas ke rantau Asia Tenggara. Malaysia dan Singapura merupakan dua buah negara yang menjadi tumpuan penempatan awal komuniti minoriti Sikh semasa pemerintahan kolonial British di Tanah Melayu. Ada empat faktor utama berlakunya penghijrahan orang Sikh dari Punjab ke Malaysia.

Pemindahan para banduan politik Sikh dari India ke Negeri-negeri Selat merupakan faktor utama permulaan proses diaspora Sikh di Tanah Melayu. Ramai orang Sikh yang kurang senang dengan faktor pertama ini mungkin kerana mereka kurang arif dengan pengajian sejarah. Dipercayai ada dua orang banduan politik Sikh yang tiba di Negeri-negeri Selat pada tahun 1850. Mereka bernama Nihal Singh (dikenali umum sebagai Bhai Maharaj Singh) dan Kharak Singh yang dibuang negara seumur hidup kerana terlibat dalam peperangan menentang penjajah British dalam tahun 1840-an. Bhai Maharaj Singh meninggal dunia pada 5 Julai 1856 di penjara Outram Road, Singapura. Kedatangan mereka ini pula diikuti dengan banduan Sikh yang lain. Pada 8 Mei 1873, banduan-banduan dari India telah dipindahkan ke Andaman, manakala banduan Sikh yang telah tamat tempoh hukuman, tidak pulang semula ke India. Sebaliknya mereka menetap di negeri-negeri Selat.

Pusat petempatan komuniti Sikh yang terawal di Tanah Melayu adalah di kawasan berek polis dan kawasan lombong bijih timah. Komuniti Sikh yang menganggotai Melaka Sikh Group (MSG) telah mendirikan gurdwara tempat sembahyang mereka untuk memenuhi keperluan kerohanian dan penyatuan penganut Sikh. Gurdwara awal di Malaysia telah dibina mengikut keperluan sesuatu kelompok pekerjaan. Gurdwara yang pertama di Tanah Melayu telah didirikan oleh anggota polis Sikh berhampiran dengan berek-berek polis.

Migrasi komuniti Sikh pada awalnya juga dipengaruhi oleh faktor peribadi di mana pegawai-pegawai British yang berkhidmat di Punjab dan Jajahan Bersatu yang lain berhasrat untuk mendapatkan khidmat anggota Sikh di Tanah Melayu. Apabila migrasi bermula, maka orang Sikh yang lain juga tertarik dan berminat dengan tempat dan pelbagai sektor pekerjaan di Tanah Melayu. Mereka menceburkan diri dalam bidang keselamatan seperti polis, perkhidmatan keselamatan di pelbagai jabatan kerajaan dan pegawai teknikal di stesen keretapi.

Keberanian orang Sikh terbukti kerana mereka bukan sahaja telah berkhidmat di negeri India malah juga telah berkhidmat dalam pasukan tentera British di China, Burma dan kawasan jajahan British yang lain. Kejayaan mereka di China dapat dilihat iaitu selepas Perjanjian Tienstin ditandatangani, dimana beberapa pasukan Sikh telah diberi “penghormatan peperangan”.

Secara keseluruhannya, tujuan asal kedatangan orang Sikh ke Tanah Melayu adalah bersifat sementara, iaitu untuk mengumpulkan seberapa banyak wang untuk dibawa pulang. Tetapi lama-kelamaan perspektif mereka tentang kehidupan mulai berubah di mana mereka mahukan kehidupan yang lebih baik berbanding di Punjab. Sungguhpun komuniti Sikh sudah lama menetap di Malaysia, mereka masih mengekalkan hubungan kekeluargaan yang baik dengan sanak saudara di India. Sumbangan orang Sikh dalam pasukan keselamatan di Tanah Melayu dan kini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat penting dikaji oleh masyarakat Malaysia. Keunikan mereka mengekalkan identiti Sikh semasa berkhidmat dalam pasukan keselamatan merupakan satu aset sejarah yang diwarisi sejak sekian lama.

Loading

TOP